fbpx
SUSU ibu adalah dilarang untuk dibuat sabun dan apa juga produk kosmetik. - GAMBAR HIASAN

K2

Hukum membuat sabun dengan susu ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA ingin bertanya, saya mempunyai susu badan berlebihan dan ia tidak dapat disimpan dalam tempoh lama. Jadi, saya bercadang hendak menjadikannya sebagai sabun. Soalannya, apakah hukum membuat sabun dengan menggunakan susu badan tetapi untuk kegunaan diri sendiri sahaja? Mohon penjelasan.

JAWAPAN: KAMI mulakan dengan firman Allah SWT: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah al-Baqarah : 233)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. 

Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130)

Perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum atau sekiranya ia dijual beli.

Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah: “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya.”

Akan tetapi, menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami cenderung mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.

Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk lain. Jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan. 

Lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun). Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.

Lagi pula, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). 

Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. 

Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN