JAKARTA – Seorang penjual sayur di Indonesia mengamuk apabila dipaksa oleh seorang pelanggan untuk menurunkan harga cili yang dijual, lapor laman berita Lambe Turah semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @1541hsb memaparkan penjual wanita itu menengking dan memarahi pelanggannya.
Situasi bertambah tegang apabila dia melemparkan bakul yang diisi dengan cili ke arah pelanggan tersebut.
“Minta diskaun terus. Diskaun! Diskaun! Diskaun! Pergi dari sini!” kata wanita itu di dalam video.
Rakaman itu mencatatkan lebih 58,600 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Jangan tutup rezeki sendiri, nanti orang lain takut nak beli,” kata seorang netizen.
“Boleh menawar tetapi dengan harga masuk akal,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI