BATU PAHAT – Waris kepada seorang lelaki warga emas yang maut dilanggar oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V berhampiran Masjid Parit Bajuri di Jalan Muar – Batu Pahat pagi kelmarin ingin bertemu dan melihat sendiri pemandunya.
Mohd. Nur Helmy Hamzah, 24, berkata, keluarganya kesal dengan tindakan pemandu kenderaan berkenaan yang meninggalkan bapanya, Hamzah Buang, 61, tanpa menghulurkan sebarang bantuan selepas berlaku kemalangan.
Katanya, mujur ada penduduk kampung yang menyedari kejadian itu dan memberikan bantuan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk mendapatkan rawatan, namun ia agak terlewat.
“Saya yakin jika pemandu itu memberikan bantuan dengan menghubungi ambulan sebaik selepas kejadian, mungkin ayah masih boleh diselamatkan.
“Insya-Allah esok saya akan datang ke Mahkamah untuk berjumpa dan melihat sendiri orangnya dan soalan saya kenapa dia sanggup tinggalkan ayah saya macam itu sahaja,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi, mangsa, Hamzah menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari arah Muar ke Batu Pahat.
Katanya, sebaik tiba di Parit Baijuri, motosikal ditunggang warga emas itu telah berlanggar dengan sebuah kenderaan SUV dipandu lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, warga emas tersebut telah mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki kanan sebelum dirujuk ke HSNI untuk mendapatkan namun disahkan meninggal dunia pukul 7.58 pagi hari yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE