fbpx
DIANGGOTAI Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Afiq Sky, mereka mencipta fenomena menerusi deretan lagu popular seperti Mona Lisa dan P. Ramlee Saloma.

Alpha ‘setahun jagung’ tetapi menyala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEDAKAN baharu M-pop tanah air kini bukan lagi sekadar percikan kecil, sebaliknya sudah menjelma menjadi ombak besar yang menggegarkan arus industri. 

Dalam gelombang tersebut, nama Alpha terlihat sebagai simbol generasi baharu, segar, berani dan penuh percaturan global.

Selepas mengumpul lebih 100 juta penstriman dalam semua platform digital, kumpulan tujuh jejaka itu akhirnya melancarkan album sulung yang dinanti-nantikan, The First Wave. 

Lahir daripada pentas realiti Big Stage Alpha 2025, Alpha bukan hanya produk program hiburan tetapi evolusi bakat yang disatukan menjadi satu kekuatan luar biasa.

Dianggotai Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Afiq Sky, mereka mencipta fenomena menerusi deretan lagu popular seperti Mona Lisa dan P. Ramlee Saloma. 

Sempena ulang tahun pertama penubuhan, album The First Wave menjadi lambang perjalanan, pengorbanan serta kematangan seni yang diraih sepanjang setahun.

Dilancarkan bawah Rocketfuel Entertainment, album tersebut menghimpunkan 12 lagu pelbagai genre,  daripada pop moden hingga eksperimen bunyi kontemporari. 

Lebih menarik, album tersebut turut diserikan kolaborasi bintang tempatan dan antarabangsa. Antara karya paling mencuri perhatian termasuklah Burn It Down, hasil sentuhan penerbit Sweden, Daniel Caesar bersama penulis lagu Amerika, Candace Sosa.

Lagu tersebut dirakam di Korea Selatan ketika kumpulan itu menjalani latihan intensif tahun lalu.

Selain itu, lagu Dia menampilkan AG Coco, manakala Haru Biru menyaksikan gandingan vokal bersama Daiyan Trisha. Album tersebut turut memuatkan lagu hit terdahulu seperti Bujang, Tiada Pengganti dan Gelato, selain karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak dan Roman Empire.

Menurut Daniel, album tersebut bukan semata-mata himpunan lagu, tetapi refleksi perjalanan mereka.

“Rasa seperti baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama.

“Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta pelbagai kenangan.

“Album ini menjadi simbol segala usaha dan pengorbanan kami, dan kami mahu berkongsi detik istimewa ini dengan peminat sejak hari pertama,” katanya kepada HibGlam.

Izat pula melihat The First Wave sebagai ruang eksplorasi identiti baharu kumpulan itu.

“Album ini sangat istimewa kerana setiap lagu membawa emosi dan identiti tersendiri.

“Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan memperkenalkan sisi Alpha yang mungkin belum pernah didengar.

“Kami tidak sabar menantikan reaksi peminat apabila mereka mendengar keseluruhan album ini,” ujarnya.

BARU muncul dengan album, The First Wave, Alpha juga sedang bersiap-siaga menjelang konsert pertama yang dijadualkan September depan.

Konsert sulung

 

Lebih mengujakan, kejutan terbesar hadir apabila konsert sulung The First Wave Concert diumumkan bakal berlangsung September ini. 

Araff mengakui mereka sendiri tidak mengetahui tentang pengumuman tersebut.

“Kami langsung tidak tahu mengenai perkara ini. Sebab itu kami sangat terkejut, tetapi dalam masa sama sangat gembira kerana segalanya berlaku begitu pantas.

“Ini rezeki kami dan kami harap dapat memberikan persembahan terbaik,” ungkapnya.

Afiq Sky pula turut menyifatkan konsert solo itu sebagai impian yang akhirnya menjadi realiti.

“Kami selalu tertanya-tanya bila konsert sendiri akan diadakan. Walaupun terkejut, kami sebenarnya sudah bersedia.

“Kami akan berlatih lebih keras demi memberikan yang terbaik kepada peminat,” luahnya.

Tidak sekadar mengangguk, Ariel  melihat peluang tersebut sebagai detik yang diimpikan setiap anak seni.

“Ini peluang untuk kami mempersembahkan karya sendiri di pentas besar.

“Saya harap orang ramai akan hadir dan memeriahkan konsert pertama kami,” tutupnya.

Dilancarkan secara rasmi pada 15 Jun lagu, deretan lagu dalam album The First Wave kini sudah boleh distrim di seluruh platform penstriman.

DIANGGOTAI Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Afiq Sky, mereka mencipta fenomena menerusi deretan lagu popular seperti Mona Lisa dan P. Ramlee Saloma.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN