KULAI – Satu kemalangan ngeri dilaporkan berlaku membabitkan empat buah kenderaan berat dan dua buah kereta di Kilometer 31.9, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kulai di sini hari ini.
Nahas pada pukul 9 pagi itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan operasi menyelamat, pemadaman api serta kerja-kerja pembersihan dijalankan.
Difahamkan, anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran dan mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menurut maklumat awal yang diperoleh, tiga mangsa dipercayai maut dalam kejadian itu, namun jumlah sebenar serta punca nahas masih belum disahkan pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan laluan tersebut dan menggunakan jalan alternatif sementara operasi di lokasi masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE














