TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) terus mempamerkan kemajuan dalam usaha menjadikan kehidupan manusia lebih menyenangkan serta menyelesaikan pelbagai rutin harian.
Baru-baru ini, salah sebuah syarikat teknologi terkenal di China, Topband Co. Ltd. di bawah jenama Yueban telah memperkenalkan robot tandas automatik AI yang mampu bergerak sendiri ke lokasi pengguna.
Robot itu mampu menjadi penyelesaian baharu kepada golongan warga emas, pesakit serta individu yang mempunyai masalah pergerakan.
Dikenali sebagai Xiaoban, robot tandas mudah alih itu boleh bergerak secara autonomi ke lokasi pengguna dengan menggunakan alat kawalan jauh atau arahan suara.
Kemunculan teknologi tersebut telah menarik perhatian ramai sewaktu dipamerkan di Ekspo Perubatan Pemulihan, Alat Bantuan dan Penjagaan Warga Emas Antarabangsa Shanghai 2026 (China AID 2026).
Menurut portal CPG, pengunjung tertarik dan teruja dengan kecanggihan Xiaoban yang mampu bergerak menghampiri katil pada kedudukan sesuai sebelum digunakan pesakit tanpa perlu dipindahkan ke bilik air.
“Berdasarkan reka bentuk, robot ini menyerupai gabungan kerusi roda moden dan tandas mudah alih.
“Robot ini turut dilengkapi sistem roda pintar bagi membolehkan ia bergerak secara automatik dalam ruang kediaman sambil mengelak halangan laluan.
“Teknologi navigasi yang digunakan membolehkan robot mengenal pasti kedudukan pengguna serta bergerak dengan selamat di dalam rumah,” ujar laporan media tersebut.
Selepas digunakan, sistem dalaman robot akan mengendalikan sisa buangan tanpa melibatkan pengguna atau penjaga secara fizikal atau sentuhan.
Teknologi tersebut juga direka bagi mengurangkan risiko pencemaran serta meningkatkan tahap kebersihan terutama bagi individu yang memerlukan penjagaan jangka panjang.
TANDAS robot ini turut dilengkapi sistem pembersihan automatik yang akan membersihkan bahagian dalaman selepas digunakan, sekali gus membantu mengekalkan kebersihan dan mengurangkan beban tugas kepada penjaga warga emas atau pesakit.
Ia berbeza dengan tandas konvensional yang memerlukan proses pembersihan manual serta banyak tenaga oleh manusia.
Menurut jurucakap Yueban, matlamat jenama itu adalah untuk membina tandas pintar, katil pintar dan alat bantuan yang boleh bergerak sendiri terutama untuk membantu warga emas serta pesakit.
“Kami berharap usaha ini (memperkenalkan robot pintar) dapat mendekatkan masyarakat dengan teknologi pintar supaya pesakit dan warga emas dapat dijaga dengan saksama.
“Teknologi ini dapat mengurangkan beban penjaga termasuk ahli keluarga serta petugas kesihatan secara fizikal dan mental dalam menguruskan sisa buangan pesakit secara manual,” katanya.
Menariknya, proses kumbahan robot tandas itu menggunakan konsep sistem docking station atau kotak pangkalan statik.
Sewaktu tandas sedang digunakan, sisa buangan akan masuk ke tangki takungan khas di dalam badan robot yang dilengkapi sistem penapisan bau.
Sebaik sahaja tangki penuh, robot akan menggunakan sensor LiDAR untuk bergerak menuju ke stesen dok kumbahan yang dipasang di tandas atau stesen kumbahan.
Stesen kumbahan akan membantu membersihkan tangki, selain dilengkapi sistem pam vakum berkekuatan tinggi dan bilah pengisar.
Sisa pepejal akan dihancurkan menjadi cecair halus menggunakan bilah pengisar, sebelum dipam keluar ke dalam sistem paip kumbahan utama rumah.
Proses itu sama seperti fungsi sistem macerator toilet yang digunakan pada tandas kapal persiaran atau lori karavan.
Selepas tangki dikosongkan, stesen dok akan mengepam air bersih ke dalam tangki robot untuk membersih dan mengaktifkan sistem sinaran ultraungu (ultraviolet).
Selain itu, tandas tersebut turut melalui proses semburan disinfektan pada bahagian dalam mangkuk bagi membunuh 99.9 peratus kuman.

Untuk makluman, teknologi sensor LiDAR pada tandas berkenaan turut digunakan untuk menggerakkan pencucian bidet, pengeringan udara dan pembasmi kuman UV.
Dalam pada itu, ramai pemerhati melihat pengenalan robot tandas tersebut selari dengan cabaran yang sedang dihadapi oleh banyak negara akibat peningkatan populasi warga emas.
Tidak terkecuali China yang menunjukkan peningkatan jumlah penduduk berusia, sekali gus mewujudkan permintaan tinggi terhadap teknologi bagi membantu penjagaan harian golongan itu.
Menurut laporan Interesting Engineering, individu mengalami strok, kecederaan tulang belakang, penyakit neurodegeneratif dan masalah berjalan lain boleh menyukarkan pesakit ke tandas.
Situasi itu lebih menyulitkan terutama pada waktu malam kerana risiko terjatuh boleh meningkat akibat mengantuk atau keletihan.
“Dalam situasi sebegini, kehadiran robot tandas bergerak mampu mengurangkan kebergantungan kepada ahli keluarga atau penjaga untuk ke tandas.
“Selain memberi lebih kebebasan kepada pengguna, teknologi berkenaan juga berpotensi meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Pakar penjagaan warga emas berpendapat, kemampuan melakukan aktiviti asas secara lebih berdikari memainkan peranan penting dalam menjaga emosi, keyakinan diri serta kesejahteraan mental seseorang,” ujar laporan berkenaan.

Selain itu, inovasi tandas pintar berkenaan boleh membantu mengurangkan beban kerja fizikal yang sering dikaitkan dengan proses mengangkat atau memindahkan pesakit ke tandas.
Tugas tersebut bukan sahaja memerlukan tenaga yang banyak, malah boleh menyebabkan kecederaan belakang dalam kalangan penjaga jika dilakukan secara berulang kali.
Biarpun mendapat reaksi positif, namun teknologi itu turut mencetuskan perdebatan terutama melibatkan kos, aksesibiliti dan penerimaan masyarakat terhadap penggunaan robot dalam penjagaan harian.
Difahamkan, seunit robot tandas bergerak dijual pada harga pasaran 28,999 yuan di China iaitu sekitar AS$4,000 (RM17,000). Harga tersebut dipercayai berbeza untuk pasaran antarabangsa yang mampu mencecah sekitar AS$13,000 (RM55,000) seunit.
Menurut laporan lain, sesetengah pihak melihat robot tandas itu sebagai penyelesaian masa depan, namun ada berpendapat sentuhan manusia masih sukar digantikan oleh teknologi.
“Robot mungkin dapat menjadi penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan masalah tetapi komunikasi antara manusia masih perlu kerana ia melibatkan emosi.
“Campur tangan teknologi ini penting untuk memudahkan aktiviti harian, tetapi bukan melenyapkan komunikasi dan sentuhan fizikal manusia,” katanya.
Mula dipasarkan secara rasmi pada pertengahan bulan ini, tandas tersebut masih belum digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Bagaimanapun, inovasi tandas pintar itu memberikan gambaran tentang masa depan melibatkan penjagaan kesihatan dan kebajikan pesakit atau warga emas yang lebih baik.














