TEXAS – Argentina mengekalkan rentak sempurna pada Piala Dunia 2026 apabila melakar kemenangan kedua selepas menewaskan Austria 2-0 dalam saingan Kumpulan J di Stadium Dallas awal pagi semalam.
Dua gol menerusi kapten, Lionel Messi memastikan skuad La Albiceleste meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati selain menyaksikan pemenang Ballon d’Or lapan kali itu menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 18 gol.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menganggap Messi sebagai tunjang yang menggerakkan pasukan itu, terutamanya apabila dia bangkit daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti di awal permainan.
“Selepas penalti itu, semua pemain menganggap seperti tidak ada apa yang berlaku dan ia membuktikan kematangan pasukan. Gagal menyepak masuk penalti memang mengecewakan, namun apabila Messi bangkit, semua pemain akan merasakan aura itu.
“Apa yang dia (Messi) tunjukkan hari ini (semalam) sangat menakjubkan dan tidak banyak perlu diperkatakan. Dia bekerja keras untuk pasukan, jadi kami sangat gembira memiliki pemain seperti Messi,” katanya.
Mengulas mengenai kemampuan mereka untuk mempertahankan kejuaraan, beliau percaya ada beberapa pasukan yang memiliki potensi menjadi juara pada edisi kali ini dan tidak terkecuali skuad kendaliannya.
“Bagi saya, ada tujuh atau lapan pasukan yang memiliki kemampuan untuk memenangi Piala Dunia. Saya percaya pasukan-pasukan tradisi akan memenanginya dan kami juga mahu bersaing mendapatkannya,” ujar Scaloni. – AGENSI














