Ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 di Dewan Undangan Negeri pada Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran rebat cukai taksiran sebanyak 100 peratus kepada warga negeri itu yang beralih ke teknologi hijau di rumah mereka.
Bertujuan menggalakkan lebih ramai penduduk negeri menggunakan tenaga bersih dan mampan, beliau memberitahu, teknologi hijau itu termasuk pemasangan panel solar, sistem penuaian air hujan, proses kitar semula dan sistem pengkomposan sisa makanan.
Satu tawaran yang menarik, tetapi tidak banyak maklumat tersedia setakat ini. Malah, laman sesawang pakej daya tahan itu juga tidak memberikan jawapan yang dimahukan. Paling nak tahu, layakkah saya?
Setakat ini tidak tahu apa syarat yang dikenakan. Bagaimana dan di mana untuk memohon juga tiada. Ini kerana ramai yang sudah melaksanakan kitar semula dan pengkomposan.
Ramai mahukan kepastian. Semasa pembentangan Jumaat lalu, Amirudin dipetik sebagai berkata, tawaran rebat cukai taksiran 100 peratus diberikan pada tahun ini sekiranya penduduk memasang satu daripada teknologi tersebut.
Namun, jika pemasangan panel solar dan sistem tuai air hujan menjadi antara kriteria wajib untuk layak mendapat rebat, jawabnya hanya sebahagian penduduk sahajalah yang akan mendapat manfaat itu.
Kos pemasangan solar adalah antara RM10,000 hingga RM45,000 bergantung kepada kapasiti. Tidak ramai yang sanggup atau mampu ‘melabur’ sebanyak itu walaupun dalam masa yang sama, ada insentif diskaun daripada kerajaan Pusat.
Bagi penduduk yang rendah penggunaan elektrik, pulangan dari pelaburan itu pula mengambil masa yang panjang, mungkin sehingga berbelas tahun walaupun ada laporan menyatakan pulangan dalam masa tiga hingga lima tahun sahaja. Bagi penduduk rumah pangsa, apartment dan kondominium pula, mereka tidak ada banyak ruang untuk memasang panel solar dan tuai air hujan.
Justeru, kerajaan negeri wajar mencari alternatif lain supaya semua rakyat mampu nikmati teknologi hijau. Antaranya ialah dengan bekerjasama dan menggalakkan pemaju perumahan menyediakan kemudahan teknologi hijau dalam projek mereka.
Penglibatan pemaju sangat diperlukan kerana Selangor mempunyai banyak rumah bertingkat. Ini boleh mempercepatkan peralihan berbanding menggalakkan orang ramai secara individu.
Secara keseluruhannya, sembilan inisiatif lain di bawah pakej pengukuhan daya tahan Selangor itu amat dialu-alukan. Ada yang boleh diteruskan walaupun krisis di Asia Barat dan ketidaktentuan ekonomi global sudah berakhir.
Cuma perlukan sedikit penambahbaikan untuk menjadikannya benar-benar sampai kepada orang ramai dan permohonan dipermudahkan. Ramai yang merungut tidak boleh klik pada link yang disediakan untuk memohon. Mungkin kerana trafik yang tinggi selepas diumumkan.
Jika semua inisiatif yang disediakan seperti subsidi tambang pengangkutan awam, baucar Kita Selangor, sarapan percuma sekolah dan bantuan input pertanian itu sampai terus kepada rakyat, bukan sahaja rakyat lega dan gembira tetapi boleh menjadi ikutan oleh negeri lain dalam keadaan rakyat terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.














