SHAH ALAM – Angkara melanggar lampu isyarat merah mengakibatkan dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki melanggar sisi sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kilometer 5 Jalan Banting – Jugra di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu menyebabkan kedua-dua mangsa berusia 20an tercampak dan jatuh di atas jalan raya.
Mereka yang cedera di bahagian kepala kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 petang hari sama ketika menerima rawatan di Hospital Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Corrola Altis dipandu eksekutif lelaki sebuah syarikat syarikat swasta dari arah Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat telah berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.
Katanya, pemandu kereta berusia 50an kemudiannya membelok kanan apabila lampu isyarat bertukar hijau.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua mangsa dari arah bertentangan sedang bergerak terus lalu melanggar sisi kiri kereta itu.
“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan jatuh di atas jalan. Penunggangnya dan pembonceng cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemandu kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.Keadaan motosikal dinaiki dua mangsa itu. – KOSMO! ONLINE