KUALA LUMPUR – Tanggal 21 Julai 2020 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan buat pelajar Universiti Islam Madinah, Muhammad Uwais Mohd. Rosli, 25, apabila dia menjadi salah seorang daripada lapan rakyat Malaysia yang terpilih sebagai jemaah haji pada tahun ini.
Anak jati Selangor yang kini menuntut di Madinah itu berkata, ketika keputusan pemilihan jemaah haji diumumkan kerajaan Arab Saudi pada 12 Julai lalu, dia bersama isterinya, Siti Hajar
Mohd. Roslan, 25, tidak terpilih untuk menunaikan ibadah itu.
Bagaimanapun, pada malam 21 Julai lalu sekitar pukul 1.40 pagi (waktu tempatan), satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak kerajaan Arab Saudi telah menyatakan bahawa dia terpilih sebagai jemaah haji tahun ini.
Bagaimanapun, Siti Hajar tidak terpilih.
“Tak dapat hendak gambarkan perasaan gembira itu. Ini juga adalah hadiah ulang tahun kelahiran saya ke-25 pada 22 Julai lalu yang paling bermakna,” kata pelajar jurusan syariah ketika dihubungi Kosmo! dari Malaysia semalam.
Muhammad Uwais berkata, dia merupakan jemaah haji yang terakhir daripada lapan rakyat Malaysia yang mendapat panggilan menunaikan ibadah itu.
“Ketika mendapat SMS itu, saya rasa macam tidak percaya, adakah kerajaan Arab Saudi tersilap? Selepas keputusan awal yang menyatakan kami suami isteri tidak berjaya, kami sudah move on.
“Apa yang menyebabkan saya terlalu gembira dipilih adalah kerana tahun ini merupakan tahun yang cukup berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya setelah dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Saya berharap mampu mengerjakan ibadah haji dengan sempurna,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai persediaannya, Muhammad Uwais berkata, segala persediaan hanya dilakukan secara ala kadar.
“Biasanya kerajaan Arab Saudi akan menyediakan persiapan seperti kain ihram dan sebagainya. Malam ini (semalam) saya akan terus bergerak ke Mekah kerana kerja haji akan dilakukan esok (hari ini).
“Tempoh beberapa hari setelah nama saya diumumkan, persiapan dari segi kesihatan seperti ujian swab Covid-19 telah dilakukan. Bagi saya apa yang penting adalah ilmu kerja haji yang bakal saya jalani selepas ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi jemaah haji rakyat Malaysia yang terpilih, Fatin Anis Athirah Daud, 25, berkata, dia gembira kerana menjadi antara insan bertuah untuk menunaikan haji tahun ini ketika umat Islam yang lain di seluruh dunia tidak dapat melaksanakan ibadah itu akibat pandemik Covid-19.
“Seperti yang kita tahu, tahun ini adalah tahun yang cukup unik. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi setelah nama saya terpilih beberapa hari lalu.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi cukup teratur. Setelah diterima menjadi tetamu Allah, kerajaan Arab Saudi menghantar dua orang doktor mereka untuk memeriksa keadaan saya.
“Setiap jemaah juga akan disediakan satu gelang khas yang mempunyai cip di dalamnya bagi memantau setiap jemaah yang menjalankan ibadah haji pada tahun ini,” ujar pelajar dari Universiti Umm Al Qura Mekah itu.
Muhammad Uwais dan Fatin Anis merupakan dua daripada lapan rakyat Malaysia yang terpilih melaksanakan ibadah haji bagi tahun ini.
Jemaah haji dari Malaysia yang terpilih kali ini adalah dalam kalangan pelajar dan pekerja di Jeddah, Madinah dan Riyadh.
Masing-masing tiga jemaah dari Jeddah, Madinah (3) dan Riyadh (2) iaitu lima pelajar, dua jururawat dan seorang penyelidik.
Malaysia mendapat kuota seramai 31,600 jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun ini, namun terhalang ekoran wabak Covid-19.
Kesemua 10,000 jemaah haji yang terpilih pada tahun ini hanya dibenarkan menunaikan haji ifrad.
Daripada jumlah itu, seramai 3,000 orang terdiri daripada warga Arab Saudi dalam kalangan barisan hadapan, manakala 7,000 jemaah lagi dibahagikan kepada warga asing dari 160 buah negara di seluruh dunia.















