KUANTAN – Rumah Terbuka Raya Mekdi yang julung kali diadakan di negeri Pahang berlangsung meriah dengan dihadiri ribuan orang ramai daripada seluruh negeri.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai mula memenuhi perkarangan McDonald’s Indera Mahkota Pandu Lalu pada pukul 4 petang bagi mendapatkan hidangan Set Foldover Ayam percuma.
Dianggarkan kira-kira 5,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan daripada pukul 6 petang hingga 9 malam itu.
Majlis dimulakan dengan acara perasmian oleh Naib Presiden dan Ketua Pegawai Restoran McDonald’s Malaysia, Zaid Hasman diikuti persembahan oleh artis terkenal Nabila Razali, Mimifly dan Zaki Yamani serta persembahan kumpulan kebudayaan.
Zaid berkata, Pahang menjadi lokasi ketiga daripada lima lokasi yang dipilih tahun ini selepas dua sambutan telah diadakan di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 April lalu.
“Saya bagi pihak McDonald’s mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir batin dan selamat datang. Terima kasih sudi hadir dan kami juga ingin mengucap terima kasih anak yatim dan wakil Akademi Yayasan Sultan Abdullah (YASA) – MUIP Kompleks Sultan Haji Ahmad Shah.
“Kami hargai sokongan semua dan semoga sambutan ini membawa keberkatan kepada kita semua,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya selain juadah Set Foldover Ayam, pelbagai aktiviti menarik disediakan daripada pukul 6 petang hingga 9 malam.
Sementara itu seorang pengunjung, Ayed Rosdi,34, berkata, dia bersama isteri dan lima anaknya mula hadir pada pukul 4 petang bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Mekdi yang amat dinantikan.
Katanya, penganjuran majlis seperti itu memberi peluang kepadanya bersama keluarga hadir dan bertemu dengan sahabat handai sempena hari raya.
“Saya harap majlis sambutan hari raya seperti ini akan terus diadakan lagi pada tahun hadapan, dengan juadah dan pelbagai persembahan ia memberikan kecerian,”katanya. -KOSMO! ONLINE.