MARAN – Gara-gara makanan yang dipesan di kedai makan lewat sampai, seorang lelaki mengamuk dengan menyerang seorang wanita dan remaja dengan pisau dalam kejadian di Felda Jengka 2 di sini, kelmarin,
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, suspek berusia 57 tahun bagaimanapun maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki tersebut.
Difahamkan, sewaktu kejadian suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika menikam peniaga kedai makan, Salma Mustapha, 52, hingga parah.
Selain Salma, suspek turut menikam anak angkat wanita itu berusia 16 tahun yang cuba menyelamatkan mangsa yang menjerit meminta pertolongan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai mengalami halusinasi disebabkan pengambilan dadah.
“Kita menerima maklumat dia (suspek) bercakap seorang diri. Dia juga bercakap dengan kucing,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian itu, Kim Wai berkata, pihaknya yang pergi ke lokasi mendapati lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan kebiruan pada mata.
Selain itu tangan lelaki itu dalam keadaan terikat selepas dipercayai dipukul beramai-ramai.
“Pasukan perubatan Hospital Jengka yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian lelaki dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat.
“Susulan itu, kita menahan empat lelaki berusia 18 hingga 49 tahun dan mereka direman enam hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka 2, Ramli Mohamad memberitahu, suspek menunjukkan kelakuan aneh beberapa hari sebelum kejadian seolah-olah tahu akan hari kematiannya.
“Dia (suspek) beritahu orang kampung nak mati esok. Selama dua hari dia belanja kawan makan dan beritahu kawan lama yang sudah meninggal dunia ‘panggil’ dan kirim salam dari syurga,” katanya.
Dalam pada itu, adik Salma, Mohd. Norsalam, 33, yang masih trauma berkata, kakaknya cuba melarikan diri selepas melihat suspek bertindak agresif, namun dia dicederakan suspek.
“Tidak sangka suspek sanggup buat begitu terhadap kakak saya. Sebelum ini hubungan mereka sangat baik seperti adik-beradik,” katanya.















