
Negara baru-baru ini dikejutkan dengan insiden membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa gangguan seksual ketika sedang menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor.
Kejadian tersebut dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) masjid sebelum tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
Seorang lelaki berusia 19 tahun yang disahkan memiliki kad orang kelainan upaya (OKU) bagi masalah pembelajaran, telah ditahan dan dituduh di Mahkamah Sesyen Ampang pada 27 Februari lalu.
Tertuduh yang mengaku atas perbuatannya, didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Namun, di sebalik keprihatinan masyarakat terhadap insiden ini, perbuatan menularkan video yang memaparkan mangsa ketika dia diminta menceritakan kejadian turut menimbulkan persoalan etika dan undang-undang.
Meskipun perakam mengaburkan wajah mangsa, rakaman tersebut jelas kedengaran nama ibu mangsa disebut. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk mengenai identiti kanak-kanak tersebut kepada individu lain yang mengenali keluarga mangsa.
Tindakan merakam dan menularkan video mangsa bertentangan dengan undang-undang yang memberikan perlindungan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah berisiko mengalami trauma yang lebih mendalam apabila identiti mereka didedahkan di media massa dan media sosial.
Pendedahan identiti
Dalam dunia digital yang semakin berkembang, pendedahan identiti kanak-kanak di media sosial dan media massa semakin membimbangkan. Walaupun undang-undang telah digubal untuk melindungi mereka, masih terdapat pengguna media sosial dan organisasi media yang tidak cakna terhadap implikasi undang-undang serta kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak yang terlibat.
Contohnya, sebelum ini seorang pemandu bas sekolah di Johor telah memuat naik video penumpang bas, yang terdiri daripada murid sekolah rendah, ke platform media sosial TikTok.
Lelaki terbabit yang kini berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah, didakwa memuat naik video ketika memandu bas sekolah dengan jelas kelihatan wajah murid-murid di belakangnya.
Begitu juga dengan tindakan sebuah portal berita tempatan yang menyiarkan temuramah anak seorang bekas peragawati yang terlibat dalam kemelut rumah tangga. Wajah remaja perempuan tersebut terpampang di platform media sosial, mengundang pelbagai komen positif dan negatif daripada netizen.
Keadaan ini dibimbangi boleh menjejaskan emosi remaja tersebut yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain individu luar, terdapat juga ibu bapa yang menghasilkan kandungan (content) mengenai anak-anak mereka di platform seperti YouTube dan TikTok dengan tujuan meraih tontonan tinggi dan menjana pendapatan.
Perbuatan ini berisiko membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi kandungan tersebut.
Kandungan yang dimuat naik ke internet sukar untuk dihapuskan sepenuhnya dan boleh membawa kesan negatif terhadap masa depan kanak-kanak termasuk dalam aspek pendidikan dan kerjaya mereka.
Peruntukan Undang-Undang
Akta Kanak-Kanak 2001 secara jelas melarang penerbitan atau penyebaran maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah, penderaan, atau eksploitasi.
Seksyen 15 Akta ini menetapkan mana-mana individu atau organisasi yang menerbitkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pengalaman penulis dalam bidang kewartawanan mahkamah, pihak media dilarang mendedahkan identiti individu yang dituduh di mahkamah, sama ada nama atau wajah, sekiranya mereka berumur di bawah 18 tahun ketika kejadian.
Pihak media perlu menamakan mereka sebagai ‘pesalah muda’ atau ‘remaja lelaki atau remaja perempuan’ dan bukan ‘tertuduh’ atau ‘Orang Kena Tuduh’ (terma perundangan yang digunakan untuk menamakan individu yang menghadapi pertuduhan) meskipun berdepan pertuduhan kes berat seperti bunuh, rompak dan rogol.
Begitu juga dengan kanak-kanak yang menjadi mangsa kes jenayah seksual, identiti mereka perlu dirahsiakan bagi menjaga maruah dan kesejahteraan mereka. Apa sahaja pelaporan dan penerbitan yang boleh membawa kepada pendedahan identiti mangsa perlu dielakkan.
Pada 26 Feb lepas, media melaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri meminta pengguna media sosial supaya menghentikan perbuatan menyebar dan berkongsi video kejadian cabul di masjid Batang Kali tersebut. Beliau turut menekankan bahawa perbuatan itu tidak wajar memandangkan mangsa dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Perlindungan
Bagi memastikan perlindungan identiti kanak-kanak dalam media massa dan media sosial, beberapa pendekatan perlu diambil antaranya memperluaskan kempen kesedaran kepada masyarakat terutamanya kepada ibu bapa dan pengguna media sosial mengenai kepentingan hak perlindungan kanak-kanak.
Masyarakat perlu digalakkan untuk menggunakan media sosial secara lebih bertanggungjawab serta mengelakkan daripada merakam dan menyebarkan gambar atau video tanpa kebenaran.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu meningkatkan usaha untuk menghapuskan kandungan yang melanggar pivasi kanak-kanak, manakala pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus memperketat penguatkuasaan dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau organisasi yang melanggar undang-undang berkaitan.
Masyarakat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat penyebaran identiti kanak-kanak secara tidak wajar di mana-mana platform digital.
Cadangan kerajaan untuk mewujudkan garis panduan merakam foto, video atau kandungan berkaitan kanak-kanak seperti yang dinyatakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini perlu segera direalisasikan.
Menteri itu menegaskan bahawa MCMC serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu berbincang bagi menetapkan garis panduan yang bersesuaian.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah menguatkuasakan surat akuan kebenaran ibu bapa dan penjaga untuk merakam gambar, video atau audio murid serta memuat naik ke laman media sosial bagi program anjuran institusi pendidikan di bawah kementerian sejak 2024.
Garis panduan itu bukan sahaja perlu dipatuhi oleh guru tetapi juga oleh semua pihak bagi memastikan kandungan yang melibatkan pelajar dan kanak-kanak dihasilkan dengan penuh berhati-hati.
Pihak media perlu berpegang kepada etika kewartawanan dengan tidak menyiarkan wajah atau butiran lengkap kanak-kanak dalam pelaporan dan penerbitan berita terutama yang melibatkan kes jenayah atau penganiayaan.
Kanak-kanak merupakan golongan yang paling rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi jika tidak dilindungi dengan sewajarnya. Pendedahan identiti mereka di media sosial atau mana-mana platform lain bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga boleh memberi kesan psikologi yang berpanjangan kepada mereka.
Justeru, semua pihak termasuk masyarakat, media, dan penguat kuasa undang-undang perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan hak serta maruah kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Dengan memahami dan menghormati undang-undang serta mengamalkan etika yang betul, kita boleh bersama-sama mencipta persekitaran yang lebih selamat dan beretika untuk generasi muda negara ini.
FADZILLAH AISHAH ISMAIL ialah Pensyarah Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Shah Alam















