PARIS – Kemenangan 4-1 ke atas Lille, awal pagi semalam memberikan kelebihan berganda buat Paris Saint-Germain biarpun mereka sudah pun memiliki kelebihan besar di puncak Ligue 1.
Malah, kemenangan selesa kali ini juga dilihat hadir tepat pada masanya memandangkan PSG bakal berdepan cabaran lebih sukar selepas diundi menentang Liverpool di pusingan 16 Liga Juara-Juara awal Khamis ini.
“Ini adalah senario yang begitu sempurna buat kami sebelum menentang pasukan yang kuat seperti Liverpool. Kami berada pada tahap terbaik dan ini adalah petanda bagus buat kami.
“Sudah pasti kemenangan ini akan berikan keyakinan penuh buat kami, namun kami tidak boleh terus berhenti daripada bekerja keras. Kami kena terus ada kemahuan untuk jadi lebih baik,” kata kapten Marquinhos.
Kesemua gol, PSG dihasilkan oleh Bradley Barcola, Marquinhos, Ousmane Dembele dan Desire Doue, manakala Jonathan David menyumbangkan jaringan tunggal Lille.
PSG kini sedang memburu kejuaraan Ligue 1 buat kali ke 11 dalam tempoh 13 tahun, namun perhatian kelab itu kini pastinya menjurus kepada aksi dengan The Reds yang kini turut mendahulu Liga Perdana Inggeris.
“Saya tidak pasti adakah kemenangan ini menjadi mesej tentang kemampuan kami tetapi yang jelasnya kami tampil dengan aksi baik. Kami mahu bersiap untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL) dan itulah yang kami sudah lakukan,” katanya. – AGENSI














