MENJADI seorang ibu merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai harganya.
Bagi kebanyakan wanita Malaysia pada masa kini, trend bergelar ibu pada usia lebih matang menjadi semakin normal.
Peralihan ini mencerminkan keutamaan masyarakat yang lebih fokus kepada pembangunan kerjaya, kestabilan kewangan dan aspirasi peribadi, di samping faktor seperti keadaan kesihatan serta perkahwinan kedua.
Data terkini menunjukkan bahawa peratusan wanita Malaysia yang melahirkan anak selepas umur 35 tahun telah meningkat daripada 20.8 peratus pada 2017 kepada 23 peratus pada 2022.
Ini menjadikan Malaysia negara kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan bayi yang dilahirkan oleh ibu pada usia lebih lanjut.
Oleh itu, kita perlu memahami akan risiko hamil pada lewat usia.
Walaupun semua kehamilan mempunyai risiko tertentu, namun wanita yang hamil selepas berumur 40 tahun mungkin menghadapi cabaran tersendiri.
Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Janin Ibu di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Gayathri Mariappa berkata, wanita berusia 40 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat komplikasi perubatan dan obstetrik.
Katanya, ia termasuk penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan penyakit jantung yang boleh meningkatkan risiko kepada ibu dan bayi semasa kehamilan.
Dia menekankan bahawa kehamilan lewat usia mempunyai kemungkinan untuk mengalami janin dengan keabnormalan kromosom yang boleh membawa kepada penyakit seperti sindrom Down.
“Kajian terbaharu menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang lebih kuat antara keabnormalan kromosom dan potensi kecacatan kongenital pada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita lebih 40 tahun.
“Risiko ini turut meningkat apabila usia ibu bertambah,” katanya.
Selain komplikasi berkaitan kehamilan, wanita yang berusia lebih 40 tahun mungkin menghadapi kesukaran untuk hamil secara semula jadi.
Mengulas akan perkara tersebut, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan di SMCV, Dr. Farah Leong Rahman menjelaskan, wanita dilahirkan dengan bilangan telur yang tetap dalam ovari mereka dan kuantitinya akan beransur-ansur berkurangan.
“Menjelang usia 40 tahun, kuantiti dan kualiti telur wanita akan menurun dengan ketara, menjadikan peluang untuk hamil semakin mencabar.
“Namun begitu, cabaran untuk hamil dan kehamilan selepas 40 tahun kini boleh dibantu dengan kemajuan dalam teknologi serta rawatan perubatan.
“Bagi wanita yang mengalami kesukaran untuk hamil, pilihan seperti kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dapat membantu menyelesaikan masalah mereka,” jelasnya.
Tambahnya, IVF melibatkan proses merangsang telur untuk membesar, mengeluarkan telur daripada wanita dan melakukan persenyawaan dengan sperma dalam persekitaran sesuai, lalu memindahkan embrio kembali ke dalam rahim.
Keseluruhan proses ini mengambil masa kira-kira dua minggu.
Pilihan rawatan kesuburan lain termasuk ubat hormon untuk merangsang pertumbuhan telur atau inseminasi intrauterin (IUI).

Namun begitu, kaedah ini biasanya mempunyai peratusan kejayaan yang lebih rendah berbanding IVF.
Dr. Farah menekankan bahawa masalah ketidaksuburan boleh berpunca daripada faktor lelaki dan wanita.
Jadi, penting bagi setiap pasangan yang cuba mendapatkan bayi untuk menjalani ujian sperma.
Dalam kes berkaitan kualiti sperma tidak optimum, IVF selalunya merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk hamil.
Akhir sekali, ujian pranatal tidak invasif (NIPT) yang juga dikenali sebagai pemeriksaan kromosom tidak invasif (NICC) adalah sejenis ujian disyorkan untuk ibu mengandung seawal usia 10 minggu kehamilan.
Dr. Farah menasihati semua wanita supaya mengekalkan gaya hidup sihat termasuk mencapai indeks jisim badan (BMI) optimum, mengambil makanan seimbang yang ditambah dengan asid folik, bersenam dengan kerap dan menjauhi tabiat berbahaya seperti merokok serta pengambilan alkohol.
Berkongsi akan hal itu, Dr. Gayathri juga menekankan kepentingan menjalani pemeriksaan kehamilan awal dan berkala serta peranan bapa dalam memastikan isteri mengalami kehamilan sihat.
“Wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan semasa trimester pertama (semasa kehamilan berusia 10 hingga 12 minggu).
“Pemeriksaan ini bagi mengetahui risiko mereka mendapat preeklampsia, masalah kekurangan serviks, diabetes semasa hamil dan penyakit tidak didiagnosis seperti buah pinggang atau jantung.
“Selain itu, terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa faktor merokok dan komposisi badan memainkan peranan penting dalam memastikan kehamilan serta keadaan janin lebih baik,” katanya.
Kemahuan untuk menjadi ibu adalah keputusan yang sangat peribadi tanpa mengira sama ada anda mahu ia berlaku sebelum atau selepas usia 40 tahun.
Dengan kemajuan dalam rawatan perubatan, sistem sokongan yang betul dan penjagaan proaktif, wanita di Malaysia kini mempunyai lebih banyak peluang untuk hamil berbanding sebelum ini.
Selain itu, dengan pelbagai pemeriksaan dan rawatan kesuburan yang ditawarkan ketika ini, usia bukan lagi penghalang untuk mencapai kehamilan sihat dan keibuan berkembang maju.















