Saya ada soalan, jika seseorang itu tak mampu untuk berpuasa kerana sudah terlalu tua, adakah boleh untuk selesaikan bayaran fidyah untuk sebulan pada awal Ramadan?
JAWAPAN: Pertama, terdapat dua golongan orang yang dibenarkan untuk tidak berpuasa dan wajib untuk membayar fidyah tanpa qada iaitu:
• Orang tua renta yang tidak mampu berpuasa
• Orang sakit yang tiada harapan sembuh
Bagi dua golongan ini, mereka tidak diwajibkan untuk qada puasa mereka, tetapi wajib untuk membayar fidyah.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Al-Baqarah: 184)
Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, kata beliau: “Golongan itu ialah lelaki tua renta dan wanita tua renta yang masing-masing tidak mampu untuk berpuasa, maka mereka hendaklah memberi makan setiap hari seorang miskin.” (Riwayat al-Bukhari, 4235).
Di sisi mazhab Syafii, waktu untuk membayar fidyah bagi dua golongan tersebut adalah pada setiap hari bulan Ramadan sama ada sebelum terbit fajar atau selepas terbit fajar.
Mereka juga diharuskan untuk membayar fidyah secara sekali gus pada akhir Ramadan atau selepas berakhirnya Ramadan.
Adapun membayar fidyah secara sekali gus sebelum masuk bulan Ramadan atau pada awal bulan Ramadan adalah tidak sah menurut mazhab Syafii. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi: “Orang tua renta dan orang sakit yang tiada harapan sembuh tidak diharuskan mendahulukan bayaran fidyah sebelum masuk bulan
Ramadan dan diharuskan (untuk membayar fidyah) selepas terbit fajar pada setiap hari Ramadan.
Imam al-Ramli ketika ditanyakan tentang keharusan membayar fidyah sebulan Ramadan secara sekali gus bagi orang tua renta, beliau berkata: “Dan (orang tua renta itu) diberi pilihan untuk mengeluarkan fidyah sama ada menangguhkannya (pada akhir Ramadan) atau membayar fidyah pada setiap hari Ramadan atau selepas berakhirnya
Ramadan, dan tidak diharuskan untuk mendahulukan sedikit pun bayaran itu (sebelum Ramadan) kerana ia dikira mendahulukan fidyah sebelum ia diwajibkan.”
Selain itu, jika fidyah bagi dua golongan di atas dilewatkan sehingga tiba Ramadan seterusnya, maka ia tidak akan dikenakan apa-apa kerana ia merupakan kewajipan yang boleh ditangguhkan.
Fakta ini dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari: “Dan tidak dikenakan apa-apa bagi orang tua renta kerana melewatkan bayaran fidyahnya dari tahun pertama.”
Walaupun begitu, dinasihatkan agar golongan yang berkeuzuran ini melangsaikan bayaran fidyah secepat mungkin setelah tiba waktu yang dibolehkan supaya tidak terlupa pada masa akan datang.
Kesimpulannya, fidyah bagi orang yang tua renta sehingga tidak mampu berpuasa dan orang sakit tiada harapan sembuh tidak boleh diawalkan sekali gus sebelum masuk
Ramadan atau pada awal Ramadan.
Menurut mazhab syafii, mereka hendaklah membayar fidyah pada setiap hari dalam bulan Ramadan atau dibayar secara sekali gus pada akhir Ramadan atau selepas Ramadan.














