fbpx
NOR SADRI (kanan) bersama anaknya, Muhammad Irfan ketika ditemui di rumahnya yang belum siap sepenuhnya di Kampung Kubang Raja, Alor Setar semalam.

‘Saya rasa bersalah tak mampu sara keluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Serangan jantung yang dialami pada September tahun lalu mengubah kehidupan seorang tukang perabot apabila dia kini hanya mampu memendam rasa bersalah kerana tidak lagi berupaya mencari nafkah untuk keluarganya.

Nor Sadri Ahmad, 54, berkata, sejak itu, keadaan kesihatannya semakin merosot apabila kedua-dua kakinya membengkak serta perut membesar sehingga menyukarkannya bergerak.

“Saya bukan tak mahu bekerja tetapi badan memang dah tak larat, jalan sikit pun cepat penat.

“Saya rasa ralat sebab dah tak mampu cari duit untuk keluarga kerana itu tanggungjawab saya. Sebelum ini saya bekerja, sekarang semuanya terpaksa ditanggung isteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Raja, di sini semalam.

Katanya, pendapatan isterinya sebagai pembantu taska sekitar RM500 hingga RM600 sebulan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk empat anak yang berusia antara sembilan hingga 18 tahun.

“Kami terima bantuan zakat kira-kira RM500 sebulan dan ia bantu untuk menampung sebahagian keperluan sekolah anak-anak,” jelasnya.

Menurutnya, dia sekeluarga merancang untuk berpindah dari rumah sewa yang didiami sejak 24 tahun lalu ke rumah miliknya, namun ia belum siap sepenuhnya kerana masalah kewangan.

“Saya ada sebuah rumah yang dibina sedikit demi sedikit, termasuk dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan sejak kira-kira 10 tahun lalu. Ia masih memerlukan kerja-kerja pemasangan siling bumbung, tingkap serta bekalan air,” katanya.

Nor Sadri berharap ada pihak yang sudi membantu menyiapkan rumah tersebut, sekurang-kurangnya bekalan air supaya mereka dapat berpindah dalam masa terdekat.

Dia juga berharap pihak hospital dapat mempercepatkan rawatan jantung dan pembedahan sekiranya perlu kerana mahu sihat dan kembali bekerja.

Selain itu, dia turut berharap ada pihak yang dapat membantu anak sulungnya, Muhammad Irfan menyambung pengajian dalam bidang kemahiran seperti kimpalan di mana-mana institusi.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat 220321515841 atas nama Nor Sadri Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN