fbpx
LAKUKAN pemeriksaan tekanan darah secara berkala bagi mengesan kehadiran penyakit hipertensi. – Gambar hiasan

K2

Usah ambil mudah masalah hipertensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASALAH hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan antara penyakit yang sering dihadapi oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, hipertensi menjejaskan 29.2 peratus atau hampir satu daripada tiga orang dewasa di negara ini. 

Dari angka itu, 11.9 peratus sebenarnya tidak tahu bahawa mereka menghidap penyakit hipertensi. 

Lebih merisaukan apabila kebanyakan mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun, sekali gus menunjukkan pertambahan yang membimbangkan dalam kalangan orang muda. 

Walaupun berdepan dengan risiko yang ketara, namun masih ramai rakyat Malaysia tidak menyedari status tekanan darah mereka kerana ia tidak bergejala pada peringkat awal.

Hipertensi adalah keadaan kronik di mana kekuatan tekanan darah pada dinding arteri adalah tinggi secara berterusan. 

Ia juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana hadir bersama sedikit atau tanpa simptom. 

Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman) di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Jolene See Su Chen berkata, hipertensi ditakrifkan sebagai peningkatan berterusan tekanan darah pada atau melebihi 140/90mmHg.

Ujarnya, ia disahkan melalui bacaan yang diambil pada sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali pengukuran secara berasingan. 

PENGAMBILAN makanan seimbang penting bagi mengawal masalah hipertensi.
– Gambar hiasan

Bagaimanapun, bacaan tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik sudah dianggap ‘berisiko’. 

“Individu yang mempunyai tekanan darah dalam julat ini perlu memantau tekanan darah mereka dengan teliti dan membuat perubahan gaya hidup bagi membantu menurunkan hipertensi.

“Hipertensi di Malaysia telah menyaksikan pertambahan kes, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 40 tahun. Malah, ada sebahagian pesakit berumur 20-an,” katanya.

Tambahnya, peralihan ini disebabkan oleh interaksi kompleks kecenderungan genetik, faktor gaya hidup dan tabiat pemakanan. 

Dalam pada itu, Dr. Jolene juga mengetengahkan mitos lazim bahawa hipertensi hanya melibatkan golongan berusia. 

Salah tanggapan ini adalah berbahaya dan ia menyebabkan ramai orang muda percaya bahawa mereka tidak berisiko, sekali gus mengakibatkan pengabaian dan diagnosis lewat.

Biasanya, hipertensi berlaku tanpa sebarang petanda atau gejala. 

Apabila mula menunjukkan gejala, ia mungkin menandakan hipertensi telah dihidapi untuk beberapa ketika. 

Antara gejalanya termasuk sakit kepala, pening, sesak nafas, sakit dada dan hidung berdarah. 

Jika tidak dirawat, hipertensi boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk dan berpotensi mengancam nyawa, termasuk serangan jantung, kegagalan jantung, degupan jantung tidak teratur, strok, kegagalan buah pinggang dan kehilangan penglihatan.

Oleh itu, Dr. Jolene menekankan supaya orang ramai menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun. 

“Tekanan darah juga perlu diperiksa sewaktu berjumpa doktor di klinik biarpun bagi masalah kesihatan yang lain. 

“Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung harus memantau tekanan darah mereka dengan kerap di rumah kerana pengesanan awal adalah kunci untuk menguruskan keadaan dengan berkesan,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan rakyat Malaysia mengambil diet yang tinggi dengan kandungan garam dan lemak, serta rendah nutrien penting. 

Kekurangan aktiviti fizikal dan stres yang tinggi dalam persekitaran kerja lebih menambahkan risiko mendapat tekanan darah tinggi.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengawal pengambilan natrium harian mereka di bawah 2,000 miligram sehari, iaitu bersamaan dengan kira-kira satu sudu teh. 

Dr. Jolene berkata, kita juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (DASH) yang direka untuk membantu mencegah atau merawat hipertensi. 

“Diet DASH tertumpu kepada melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan protein tanpa lemak daripada daging, ayam atau ikan tanpa lemak,” terangnya.

Sementara itu, pendekatan yang proaktif perlu diambil bagi mengurus dan mencegah hipertensi. 

Makan makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan pengambilan garam dan alkohol, tidak merokok, kekal aktif dengan senaman kerap dan mengekalkan berat badan ideal adalah langkah pencegahan utama.

Dr. Jolene juga menekankan kepentingan membuat perubahan gaya hidup yang diperlukan dan mematuhi nasihat doktor tanpa mengubah dos ubatan sendiri. 

Menurutnya, kita juga perlu menolak mitos yang mendakwa bahawa pengambilan ubat untuk tempoh jangka panjang mungkin membahayakan buah pinggang pesakit. 

“Pemikiran ini berbahaya kerana semua ubat-ubatan telah diuji secara saintifik dan ditetapkan pada dos yang selamat. 

“Sebaliknya, tekanan darah tinggi tidak dirawat boleh merosakkan saluran yang membekalkan darah kepada buah pinggang dengan teruk,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN