KINI teknologi kecerdasan buatan (AI) telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia dan turut digunakan dalam pelbagai bidang.
Malah, AI dilihat mempunyai potensi untuk digunakan dalam pendidikan perubatan.
Oleh yang demikian, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Sains Perubatan & Kesihatan Malaysia (MAEMHS) telah menganjurkan Persidangan Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan Perubatan (AIMEC) 2024 baru-baru ini.
Dengan tema ‘Menyingkap Masa Depan Pendidikan Perubatan dengan AI,’ persidangan itu menghimpunkan para pelajar perubatan, golongan profesional dan penyelidik dalam sebuah program yang dinamik merangkumi sesi penyampaian ceramah bermaklumat dan pembentangan hasil penyelidikan terkini.
Persidangan itu memberi tumpuan kepada peranan transformatif AI dalam pendidikan perubatan.
Malah, persidangan itu juga meneroka bagaimana teknologi AI dapat membantu membentuk semula kaedah pengajaran, pembelajaran dan amalan perubatan, sekali gus membuka peluang baharu untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan perubatan profesional.
Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Marina Mat Baki berkata, untuk meneruskan pendidikan ketika pandemik Covid-19 mereka mengadakan kelas secara realiti maya (VR)
Menurutnya, ketika itu mereka berdepan kesukaran untuk memberi kuliah serta mengadakan mesyuarat secara maya dan sebagainya.
“Namun pada penghujungnya, saya mendapati bahawa kelas maya sebenarnya adalah satu rahmat yang tersembunyi. Kini, kita sudah biasa dengan kelas dan mesyuarat secara maya dan ia telah menjadi satu rutin yang mana sebenarnya mungkin ramai antara kita lebih suka dengan cara ini kerana ia menjimatkan masa,” katanya ketika berucap pada AIMEC 2024.
Selain itu, Fakulti Perubatan UKM telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam penyepaduan VR ke dalam rangka kerja pendidikan melalui kerjasama antara universiti dan industri.

Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada perintis pembangunan modul penjagaan kesihatan berasaskan VR untuk latihan, diagnostik dan terapi.
Dalam pada itu, Dr. Marina menjelaskan, selaras dengan komitmen memajukan pendidikan perubatan, mereka turut memperkenalkan modul Kesihatan Digital ke dalam kurikulum perubatan di peringkat sarjana muda.
“Jadi, dengan menyepadukan modul ini pada awal latihan mereka, pelajar akan membangunkan pemahaman lebih mendalam tentang cara penyelesaian digital boleh meningkatkan penjagaan pesakit, ketepatan diagnostik dan memperkemas penyampaian penjagaan kesihatan.
“Dalam kita menerima kemajuan dalam VR, AI dan Kesihatan Digital, kita mendapati diri kita berada pada satu lagi detik penting untuk pendidikan perubatan,” jelas Dr. Marina.
Tambahnya, sungguh mengagumkan bagaimana AI boleh membantu mereka dalam pendidikan perubatan.
Selain itu, kata Dr. Marina, mereka turut menjalinkan kerjasama baharu dengan Universiti Raffles, Johor Bahru dalam usaha meneruskan misi untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
“Melalui platform MyAI Pensyarah yang diterajui oleh Prof. Dr. Sasa Arsovski yang merupakan Dekan Fakulti AI dan Robotik di Universiti Raffles akan menunjukkan bagaimana penyelidikan AI melangkaui sempadan.
“Kerjasama ini menggariskan potensi transformatif AI untuk pendidikan perubatan yang menunjukkan bahawa inovasi berkembang pesat untuk pelbagai kepakaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, AIMEC 2024 juga memaparkan bagaimana AI merevolusikan latihan perubatan menerusi simulasi senario klinikal dan pembelajaran peribadi kepada peningkatan diagnostik jitu dan pengoptimuman tugas pentadbiran.
Melalui simulasi berkuasa teknologi AI, para pelajar akan menjalani latihan praktikal dengan lebih realistik bagi mempersiap diri mereka berhadapan masalah kerumitan penjagaan pesakit dengan cara yang tidak dapat dicapai menerusi kaedah pembelajaran tradisional.
Sementara itu, Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid berkata, ketika ini teknologi semakin maju dan AI berada di barisan hadapan dalam mengubah cara mengajar, belajar dan amalan perubatan.
Menurutnya,peranan AI dalam penjagaan kesihatan adalah kuat yang memerlukan untuk merevolusikan sistem pendidikan perubatan kita.
“Ini adalah transformasi yang membawa bersama peluang untuk melengkapkan doktor serta profesional penjagaan masa hadapan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan.
“AI dalam pendidikan perubatan adalah lebih daripada satu alat, malah ia adalah jambatan yang menghubungkan pengetahuan dengan aplikasi dunia sebenar,” jelasnya.














