BENCANA banjir buruk pada setiap hujung tahun bukanlah satu perkara yang asing lagi dalam negara ini.
Malah, ramai penduduk terutamanya di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu terpaksa berdepan situasi ini bertahun-tahun lamanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu mencatatkan seramai 235,706 orang daripada 68,868 keluarga di sembilan negeri yang terjejas.
Jumlah tersebut merupakan rekod tertinggi selepas banjir besar melanda negara ketika MTL 2014/2015.
Kerajaan memperuntukkan dana untuk membantu masyarakat yang terkesan selain memperbaiki segala kerosakan dan melaksanakan projek tebatan banjir.
Lebih mengejutkan apabila ramai sukarelawan muda sanggup ‘turun padang’ demi menyalurkan bantuan fizikal serta sokongan moral kepada mangsa banjir.
Secara peribadi, tahap penglibatan generasi muda dalam usaha kemanusiaan tidak terlalu tinggi disebabkan faktor kerja, pengajian, urusan keluarga dan lain-lain.
Namun, ia berbeza dengan seorang sukarelawan Women’s Aid Organisation, Nik Nur Fadhilah, 24, yang sanggup menyantuni mangsa banjir di Kelantan selama tiga hari.
“Generasi muda yang bakal menjadi tulang belakang masyarakat dan negara perlu segera dipupuk dan disematkan budaya kesukarelawanan agar mereka mampu tampil menghulurkan bantuan,” katanya.
Menurut Ahli Majlis Kesukarelawan Universiti Malaysia dan Ketua Operasi Pasca Banjir di Kelantan, Zulkifli Che Hussin, generasi muda merupakan penyumbang utama dalam usaha membantu komuniti yang memerlukan.
“Penglibatan generasi muda adalah penting kerana mereka mempunyai lebih banyak tenaga dan mampu bekerja dalam keadaan mencabar.
“Contohnya operasi pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara atau kerja-kerja lain yang diperlukan,” kata Zulkifli.
Tambah Zulkifli, penglibatan generasi muda bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka yang boleh digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Penglibatan mereka secara tidak langsung akan memperkukuhkan nilai kepimpinan dan empati. Mereka juga akan mahir dalam membuat keputusan, berkomunikasi, menyelesaikan masalah di lapangan serta bijak menguruskan masa,” jelasnya.
Golongan muda juga dapat menjadikan sosial media sebagai platform untuk memberi didikan dan mengumpul sumbangan dalam pelbagai bentuk.
“Sosial media berkesan jika digunakan dengan betul. Penguasaan teknologi memudahkan mereka untuk menyebarkan maklumat penting selain mengumpul dana,” tambah Zulkifli.
Cara terbaik untuk membangunkan nilai kesukarelawanan dalam kalangan belia adalah melalui penglibatan aktif dalam misi kemanusiaan.
“Kerajaan boleh memainkan peranan dengan menganjurkan program kemanusiaan. Langkah ini sekali gus dapat menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan melahirkan sukarelawan yang terlatih,” jelas Zulkifli.
Justeru, perlu ada usaha berterusan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda.
Jika semua pihak dapat memainkan peranan, kita mampu melahirkan lebih ramai sukarelawan muda yang sentiasa semangat membantu orang ramai dalam kesusahan.














