ALOR GAJAH – Lebih 1,000 penduduk di dua taman perumahan di Bukit Tampoi di sini hidup dalam ketakutan sehingga tidak berani keluar malam susulan kejadian enam ekor kambing ternakan di kawasan itu dipercayai dibaham harimau kumbang, Sabtu lalu.
Pengerusi Taman Mutiara Alor Gajah, Ismail Kassim berkata, rutin harian penduduk juga berubah apabila surau tidak lagi dipenuhi jemaah seperti kebiasaannya.
Katanya, rata-rata penduduk berkurung di dalam rumah kerana tidak takut.
“Penduduk takut nak ke surau pada waktu malam selepas tular kejadian kambing ternakan salah seorang kariah dibaham haiwan liar,” katanya.
Ujarnya, situasi suram itu dijangka berterusan sehingga pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka dapat memberikan jaminan mengenai tahap keselamatan di situ.
Seorang penduduk, Mohd. Shukor Md. Jali, 38, memberitahu, dia terserempak dengan kelibat seekor haiwan liar seakan-akan harimau kumbang ketika memandu pulang dari memancing kira-kira pukul 12 tengah malam kelmarin.
“Saya memandu ketika itu memang tidak sempat nak rakam gambar, tetapi nampak seekor haiwan dengan tinggi kira-kira pinggang lelaki dewasa melintas dari kawasan hutan menuju ke kandang kambing penduduk kampung.
Semalam Kosmo! melaporkan, penduduk di Kampung Bukit Tampoi di sini gempar apabila enam ekor kambing ternakan di kawasan itu ditemui mati dibaham haiwan liar dipercayai harimau kumbang, Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE














