SETIU – Inisiatif seorang nelayan menghasilkan manisan nisan kerek daripada lambakan nira kelapa tidak terjual membuahkan hasil apabila dia mampu meraih lebih RM2,000 sejak tiga minggu lalu.
Zukafali Ibrahim, 49, berkata, sebelum ini, dia menjual air nira kelapa sebagai pendapatan sampingan, namun jualan kurang mendapat sambutan.
“Sebanyak 30 liter nira diproses dari mayang pokok kelapa terbuang kerana tidak habis dijual setiap hari. Ia bukan sahaja membazir, malah merugikan saya sebelum mendapat idea menghasilkan nisan kerek,” katanya ketika ditemui di Kampung Saujana di sini semalam.
Zukafali memberitahu, dia cuba menghasilkan nisan kerek menggunakan resipi yang dipelajari bulan lalu.
Tambahnya, nisan kerek dihasilkan sepenuhnya daripada nira kelapa tanpa menggunakan gula pasir atau pewarna dan bahan pengawet tiruan.
“Ia dimasak dalam kawah menggunakan dapur kayu yang mengambil masa tiga jam sebelum menjadi pekat dan dibentuk dalam acuan. Setiap hari saya menghasilkan 100 keping nisan kerek menggunakan 30 hingga 35 liter nira kelapa,” katanya.
Zukafali menjual enam keping nisan kerek pada harga RM10. Nisan itu mendapat sambutan menggalakkan biarpun baru tiga minggu dijual.















