fbpx
Giliran pelanggan pula kini meraih keuntungan apabila dapat menikmati durian premium pada harga yang lebih rendah. - GAMBAR HIASAN

Semua mahu tanam durian, akhirnya RM80 jadi RM8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kejatuhan harga durian kayangan seperti musang king yang berlaku ketika ini bukan sekadar isu harga merudum akibat lambakan buah, sebaliknya ia mencerminkan ketidakseimbangan antara pengeluaran dan permintaan.

Situasi ini mendedahkan hakikat bahawa industri durian yang pernah menjanjikan pulangan lumayan kepada pekebun menerusi penanaman ‘emas hijau’ sebenarnya tidak sekuat yang disangka.

Lambakan durian bukan disebabkan orang ramai sudah tidak suka makan durian, tetapi disebabkan pengeluaran yang melampaui permintaan.

Pada tahun sekitar 2016, durian musang king dijual pada harga antara RM50 hingga RM80 sekilogram. Ketika itu, permintaan tinggi, manakala pengeluaran pula terhad.

Situasi ini membuatkan pekebun melihat musang king bukan sekadar buah durian, sebaliknya satu perniagaan menguntungkan.

Maka, semakin ramai pekebun mula menanam pokok durian kerana beranggapan tanaman ini mampu membuatkan mereka menjadi kaya.

Ada pekebun yang sanggup menebang pokok getah dan kelapa sawit, malah ada juga yang sanggup membeli tanah untuk menanam pokok durian premium.

Dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, penanaman musang king berkembang pesat.

Jika dahulu ia banyak diusahakan oleh pekebun Cina, kini semakin ramai pekebun Melayu turut menceburi bidang ini. Keluasan tanaman telah meningkat secara mendadak di hampir semua negeri.

Sekarang 10 tahun sudah berlalu dan kebanyakan kebun mula mengeluarkan hasil dalam tempoh hampir sama, persaingan semakin sengit dan pasaran pula makin tepu.

Akibatnya, harga durian jatuh lagi. Pada penghujung tahun lalu, harga durian kayangan seperti musang king turun sehingga RM12 sekilogram.

Pada musim kali ini, harga durian musang king menjunam sehingga ada peniaga yang menjual RM8 sekilogram.

Durian kampung pula hanya dijual serendah RM2 sekilogram biarpun belum memasuki kemuncak musim.

Penanaman durian kayangan memerlukan modal tinggi. Dengan harga jualan yang rendah, pekebun mendakwa mereka kini hanya mampu pulang modal.

Peniaga durian di tepi jalan mungkin tidak terjejas kerana mereka hanya bertindak sebagai orang tengah yang menjual buah kepada pengguna.

Malah, apabila harga durian jatuh, mereka berpeluang mendapatkan bekalan pada harga yang lebih rendah daripada pekebun.

Dalam keadaan lambakan hasil, pekebun tidak mempunyai banyak pilihan selain menjual durian pada harga murah bagi mengelakkan buah itu rosak begitu sahaja.

Apa yang berlaku kepada musang king hari ini membuktikan tidak semua yang bernilai tinggi akan terus kekal mahal. Apabila penawaran mengatasi permintaan, harga akhirnya akan ditentukan oleh pasaran dan bukan lagi populariti durian itu.

Kini, pelanggan pula yang meraih keuntungan apabila dapat menikmati durian premium pada harga yang lebih rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN