PETALING JAYA – Lambakan durian di seluruh negara ketika ini dianggap luar biasa oleh peniaga berikutan kebanjiran pelbagai varieti raja buah itu termasuk durian kayangan dan premium.
Fenomena itu turut disifatkan sebagai musim paling ‘mewah’ buat penggemar durian apabila pelbagai jenis durian boleh dinikmati pada harga yang jauh lebih rendah.
Seorang peniaga di Pontian, Johor, Jefrizal Auzar, 32, berkata, sepanjang 12 tahun mengusahakan gerai durian, musim kali ini antara yang paling luar biasa.
Katanya, hampir semua dusun di negeri ini mengeluarkan hasil serentak mengakibatkan berlaku lambakan.
Katanya, pelbagai varieti durian dijual di gerainya termasuk durian pilihan ramai seperti musang king pada harga antara RM10 hingga RM19 sekilogram.
“Rasanya tidak pernah pelanggan menikmati harga semurah ini terutama bagi durian premium atau kayangan yang kini boleh dibeli di bawah harga RM20 sekilogram.
“Bukan gerai saya sahaja, kebanyakan peniaga turut menawarkan harga hampir sama bagi memastikan jualan cepat habis selain membantu pemilik dusun berdepan lambakan hasil,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, selain memajak kira-kira 100 pokok durian pelbagai varieti di Muar, bekalan juga diperoleh daripada pemilik dusun sekitar Pontian dan kawasan berhampiran.
Jefrizal berkata, gerainya kini mampu menjual sehingga tiga tan durian sehari, malah jumlah itu meningkat terutama pada hujung minggu.
“Biasanya hujung minggu lebih meriah dengan kehadiran pengunjung dari Johor Bahru serta pelancong Singapura yang singgah selepas mengunjungi Tanjung Piai,” ujarnya.
Katanya, musim durian yang bermula awal Jun lalu dijangka berterusan hingga Ogos ini, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menikmati raja buah itu sepuas-puasnya.
“Secara purata, gerai saya mampu menjual kira-kira 80 tan durian dalam tempoh sebulan, menjadikan laluan Jalan Pontian-Kukup antara lokasi tumpuan orang ramai mendapatkan durian pada harga murah,” katanya.

Di Gua Musang, Kelantan, lambakan durian kali ini menyebabkan seorang peniaga menerima bekalan daripada 10 pekebun berbanding hanya tiga pekebun tahun lalu.
Seorang peniaga di Bandar Utama, Kweh Tieok Eng, 66, berkata, dia menerima bekalan buah antara 200 hingga 500 kilogram setiap hari.
Katanya, peningkatan bekalan itu berlaku apabila ramai pekebun mencari peniaga bagi memasarkan durian mereka kerana pengeluaran yang meningkat dengan mendadak.
“Tahun lalu saya hanya ambil durian daripada tiga pekebun, tapi tahun ini meningkat kepada kira-kira 10 pekebun kerana lambakan buah yang terlalu banyak.
“Kebanyakan durian yang diterima terdiri daripada pelbagai gred termasuk musang king, udang merah dan durian hor lor (D163),” katanya.
Menurutnya, sepanjang 10 tahun berniaga, musim kali ini merupakan antara paling banyak lambakan durian.
Katanya, harga durian pada musim ini jatuh ke paras paling rendah pernah direkodkan apabila musang king berkualiti rendah dijual pada RM5 sekilogram.
“Musim kali ini memang luar biasa kerana buah durian terlalu banyak sehingga ada pekebun risau tak sempat jual.
“Daripada buah rosak begitu saja, lebih baik jual murah. Sekurang-kurangnya kos penjagaan kebun dan gaji pekerja dapat ditampung,” katanya.
















