KOTA BHARU – Dua pengawal keselamatan berdepan detik cemas selepas pondok keselamatan tempat mereka bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok di sini dihempap pokok bunut bersaiz tiga pemeluk dalam kejadian ribut, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam sebelum dua lelaki berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an itu sempat berlari keluar ke kawasan yang berhampiran sekolah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Ketereh, Hasri Hussin berkata, pokok bunut yang berukur lilit tiga meter itu tumbang menghempap pondok pengawal dan pintu pagar utama sekolah berkenaan.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.24 malam sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja memotong pokok tersebut terutamanya bahagian dahan untuk mengelakkan menghalang laluan pelajar untuk masuk ke sekolah.
“Kerja-kerja memotong pokok tumbang itu mengambil masa hampir dua jam sebelum pintu pagar utama sekolah tersebut boleh dilalui oleh kenderaan dan pelajar,” katanya.
Hasri memberitahu, pemeriksaan mendapati, tanah di kawasan itu berpasir sekali gus menyebabkan pokok tersebut tumbang apabila berlaku hujan dan ribut kuat. – KOSMO! ONLINE














