fbpx
VALVERDE menggesa Uruguay untuk meningkatkan prestasi mereka demi memburu kemenangan berdepan Arab Saudi. - AFP

Piala Dunia 2026: Uruguay mahu lepas geram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Kapten Uruguay, Federico Valverde masih belum dapat melupakan kekecewaan selepas pasukan itu sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Arab Saudi pada aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 Selasa lalu.

Justeru, pemain Real Madrid itu menggesa rakan sepasukan supaya melipat gandakan usaha menjelang perlawanan kedua menentang Cape Verde yang dijadualkan berlangsung di Stadium Miami pagi esok.

Valverde berkata, mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lawan biarpun Uruguay dianggap sebagai pasukan pilihan kerana ia mampu meranapkan impian untuk melangkah jauh pada edisi kali ini.

“Sudah tentu saya rasa kecewa dan marah dengan keputusan ketika bertemu Arab Saudi sebelum ini. Bagaimanapun, sebagai kapten, saya tetap gembira dengan semangat juang dan kerja keras rakan sepasukan.

“Terima kasih juga kepada penyokong-penyokong yang sentiasa berada di belakang. Kami akan terus berjuang dan perlu menggandakan usaha bagi memastikan pasukan mendapatkan tiga mata,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut menyifatkan setiap pasukan berdepan cuaca yang sangat panas, namun menganggap ia perkara biasa dan memerlukan setiap pemain untuk menyesuaikan diri bagi menampilkan aksi terbaik.

“Cuaca di sini sangat panas tetapi dalam bola sepak, kedua-dua pasukan berdepan situasi sama. Saya harap kami boleh menampilkan aksi lebih baik bagi memastikan keputusan sebelum ini tidak berulang,” ujar Valverde. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN