PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan My Brighter Green Initiative (MBGI) 2026, sebuah program pemuliharaan alam sekitar yang akan menyaksikan penanaman 40,000 anak pokok hutan dan bakau di enam lokasi seluruh negara, sekali gus menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti, meningkatkan daya tahan iklim serta memperkasa kesejahteraan komuniti.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, MBGI adalah komitmen berterusan syarikat dalam menterjemahkan agenda kelestarian kepada tindakan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan alam sekitar.
“Melalui MBGI 2026, TNB akan menanam 40,000 pokok di enam lokasi strategik di seluruh negara yang dijangka menyerap 67 tan setara karbon dioksida (tCO₂e) setahun, bersamaan kira-kira perjalanan sejauh 249,100 km oleh sebuah kereta petrol atau penggunaan elektrik hampir 13 buah rumah dalam tempoh setahun, di samping memperkukuh pemulihan ekosistem demi manfaat jangka panjang komuniti.

“Inisiatif ini turut menyokong agenda peralihan tenaga negara dan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis perasmian program “My Brighter Green – For Greener Tomorrow TNB 2026” di Kubang Badak, Langkawi.
Program tersebut telah disertai kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada warga kerja TNB, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan pihak berkepentingan.
Selain Langkawi, MBGI 2026 turut dilaksanakan di Tanjung Burung, Perak; Tanjung Tuan, Melaka; Jimah, Negeri Sembilan; Nibong Tebal, Pulau Pinang; dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor, dengan penglibatan kira-kira 1,000 sukarelawan.
Program bernilai RM800,000 ini merangkumi aktiviti penanaman, pemantauan dan penyelenggaraan pokok bagi memastikan keberkesanan usaha pemulihan ekosistem pesisir.

Tambah Abdul Razak, MBGI 2026 akan meneruskan legasi program penghijauan TNB yang telah dilaksanakan sejak 2007 melalui kerjasama dengan NGO, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
“Bagi memastikan impak jangka panjang, MBGI 2026 turut merangkumi pemantauan dan penyelenggaraan pokok sehingga dua tahun selepas penanaman bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup pokok,” katanya.
Beliau menjelaskan, MBGI adalah sebahagian daripada komitmen CSR TNB yang lebih menyeluruh. Pada Tahun Kewangan 2025, TNB membelanjakan lebih RM232.3 juta bagi program komuniti yang merangkumi pendidikan, sukan, kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
Melalui MBGI 2026, TNB terus memperkukuh peranannya sebagai syarikat utiliti yang bukan sahaja membekalkan tenaga kepada negara, malah turut menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, pembangunan komuniti dan masa depan rendah karbon Malaysia. -KOSMO! ONLINE














