Pada minggu lalu, nilai ringgit yang tidak disangka-sangka kembali kukuh dan ‘melantun’ kepada RM4.40 bagi setiap AS$1 pada pukul 11.32 pagi, 5 Ogos lalu.
Pada pukul 8 pagi semalam, ringgit menyusut kepada 4.41 berbanding dolar AS bagi setiap AS$1 selepas ditutup pada 4.42, Jumaat lalu.
Sebelum ini, ringgit berada pada paras RM4.49 pada 20 Februari lalu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit naik kerana faktor kadar faedah yang rendah dan bakal ditetapkan oleh Rizab Persekutuan
Amerika Syarikat (AS) dan disebabkan oleh pelaksanaan reformasi ekonomi di negara ini.
Katanya, pada bulan lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan menyatakan kesediaannya untuk mengurangkan kadar faedah pada bulan depan dan ia seolah-olah memberi tanggapan bahawa Rizab Persekutuan akan berbuat demikian.
“Pada 2 Ogos lalu, data berkenaan dengan pasaran buruh di AS menunjukkan trend yang semakin lemah. Kadar pengangguran di AS mula meningkat naik ke paras 4.3 peratus dan jumlah pekerjaan yang diwujudkan pada bulan Julai juga kurang daripada jangkaan,” katanya.
“Ini menunjukkan, pasaran pekerjaan di Amerika kini lembap. Jadi, ini menunjukkan terdapat keperluan pihak Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, jumlah pekerjaan yang diwujudkan bulan lalu di Amerika ialah 114,000 dan ia kurang daripada jangkaan sebanyak 175,000.
“Ini menunjukkan pasaran pekerjaan di Amerika kini lembap. Jadi, terdapat keperluan Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah,” ujarnya.
Justeru, katanya, kadar faedah di AS kini ialah 5.5 peratus tetapi di Malaysia Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah 3 peratus.
“Kebarangkalian ekonomi AS akan meleset tidak boleh dipandang ringan. Jadi, tanggapan seperti itu menguatkan teori bahawa pihak Rizab Persekutuan akan menurunkan kadar faedah dengan lebih agresif lagi.
“Buat masa kini, melabur di AS adalah lebih menguntungkan berbanding di Malaysia. Namun, pasaran kewangan ini (sama ada) pasaran mata wang, saham atau bon adalah bergerak ke hadapan dan melihat jangkaan (apa yang akan berlaku pada masa depan),” jelasnya.
Justeru, menurutnya, jika pihak Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah secara agresif, ia kemungkinan akan menjadi lebih rendah dari Malaysia.
Mohd. Afzanizam berkata, reformasi yang dilakukan kerajaan seperti menjadikan ekonomi negara menjadi lebih berdaya saing, penilaian agensi penarafan kewangan S&P, Fitch dan Bank J.P
Morgan yang positif turut membantu menaikkan nilai ringgit.
Seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ringgit yang melantun semula menunjukkan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
“Cumanya, berapa lama ia boleh bertahan (melantun semula). Ia bergantung kepada apakah tindakan (ekonomi) AS yang seterusnya,” ujarnya.
Beliau menjangkakan ringgit akan berada pada paras RM4.40 bagi setiap AS$1 menjelang akhir tahun ini.














