SUNGAI PETANI – Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Muhamad Ikram Imran, 26, yang lemas di Sarawak pada Sabtu lalu pernah menyuarakan hasrat untuk melakukan kerja kebajikan sampai akhir hayatnya.
Rakan baiknya, Mohd. Ridzuan Osman berkata, Allahyarham kerap menyuarakan hasratnya itu kepadanya ketika mereka terlibat dalam aktiviti kebajikan sebelum ini.
Katanya, arwah seorang yang ringan tulang apabila suka membantu orang lain sewaktu berkhidmat sebagai sukarelawan sejak lebih dua tahun lalu.
“Selama mengenali Allahyarham sejak beberapa tahun lalu, dia (Muhamad Ikram) menganggap saya sebagai abangnya dan sering menjadikan saya sebagai tempat rujukan sebelum melakukan sesuatu perkara.
“Panggillah pada bila-bila masa pun, arwah akan datang membantu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Muhamad Ikram di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit di Sungai Pasir, di sini semalam.

Bercerita lanjut, Timbalan Komander Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam Madad itu memberitahu, sikap ringan tulang Allahyarham ditunjukkan setiap kali dia pulang bercuti ke kampung.
Allahyarham Muhamad Ikram bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Hospital Sarikei sejak enam bulan lalu.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah pada sambutan Hari Raya Aidiladha lalu apabila dia membantu dalam penganjuran korban Madad. Arwah sanggup ambil cuti tambahan untuk bersama kami bagi menjayakan program itu,” ujarnya.
Jenazah Muhamad Ikram tiba di Madad dari Sarawak pada pukul 1 pagi semalam untuk urusan solat jenazah.
Jenazah lelaki itu kemudian dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Charuk Kelubi, Sungai Pasir sebelum dibawa ke Masjid Muhibbudin, Sungai Pasir untuk solat kali kedua dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit selepas solat subuh.














