BERSAIZ kompak dengan rekaan premium dan lebih kasual merupakan signatur model terbaharu LBX yang dilancarkan oleh Lexus Malaysia.
Lexus LBX atau singkatan kepada (Lexus Breakthrough Crossover) ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid yang paling kecil dalam pasaran tempatan bagi keluarga Lexus menggantikan UX.
Sebagai tawaran serba baharu dalam rangkaian model Lexus Malaysia, LBX menyasarkan pelanggan generasi muda yang ingin merasai jenama kereta mewah dari Jepun itu.
Pengguna yang ingin bertukar kepada kenderaan lebih kecil juga sesuai memiliki crossover ini yang ditawarkan pada harga paling murah untuk sebuah kereta Lexus baharu.
Ditawarkan dalam dua varian, Premium dan Luxury, ia boleh dimiliki pada harga bermula RM238,888 hingga RM268,888.
Selain itu, LBX adalah model Lexus pertama yang menggunakan platform global kereta kompak GA-B.
Dengan jarak roda yang panjang, overhang pendek dan trek lebar, LBX mempunyai ciri kestabilan serta pengendalian lebih baik, sekali gus membuatkan SUV ini ‘lincah’.
Dari segi reka bentuk, elemen paling ketara mendominasi kereta kompak ini adalah rekaan gril Spindle sentuhan baharu yang sedikit berlainan dengan identiti Lexus sejak sedekad lalu.
Ia mengekalkan bukaan trapezoid yang lebih kecil, manakala palang berwarna perak di atasnya menghubungkan antara lampu LED dan DRL dengan kesan visual seperti kening.
Di bahagian belakang pula, model LBX menggunakan jalur lampu khusus berbentuk L dan lencana dengan ejaan Lexus.

LBX Premium diperkemaskan dengan rim aloi bersaiz 17 inci dengan jejari V satu tona warna, manakala varian Luxury menggunakan rim 18 inci jejari Y dengan dua tona warna.
Dari segi dimensi, LBX mempunyai ukuran panjang 4,190 milimeter (mm), 1,825mm (lebar), dan 1,550mm (tinggi) untuk versi Premium, manakala Luxury mempunyai ketinggian sehingga 1,560 mm.
Penulis berpeluang menyertai sesi pandu uji LBX bagi merasai sendiri pengalaman dan menilai prestasi kereta kompak ini dengan menelusuri perjalanan dari Damansara, Selangor ke Janda Baik, Pahang.
Ternyata, biarpun fizikalnya kecil, namun pemanduan SUV kompak ini amat selesa dan tidak terasa berbuai.
Bukan sekadar sesuai digunakan di jalan bandar, sebaliknya LBX menunjukkan prestasi mengagumkan ketika melalui selekoh Lebuh Raya Karak.
Ia juga boleh memberi saingan kepada kenderaan lain apabila pemandu memecut laju.
Suspensi belakang LBX menggunakan torsion beam yang boleh memberikan keseimbangan dan kestabilan pemanduan serta keselesaan kepada penumpang.
LBX juga dilengkapi ciri Vehicle Braking Posture Control untuk mengimbangkan daya brek depan dan belakang secara automatik bagi mengurangkan olengan.
Dari segi kuasa, SUV kompak ini dipacu dengan enjin tiga silinder tetapan sebaris 1.5 liter M15A-FXE baharu yang mampu menghasilkan kuasa output maksimum daripada sistem hibrid penuh 136hp dengan tork 185Nm.
Sistem kawalan hibrid memanfaatkan peningkatan motor elektrik dan output bateri hibrid untuk memberikan tindak balas pada permulaan pecutan.
Menjengah ke ruangan kabin, LBX menampilkan rekaan dalaman yang lebih minimalis dan memberi rasa sama seperti model segmen teratas menerusi sentuhan kualiti premium serta terperinci.
Sentuhan Lexus Omotenashi sentiasa memberi suasana dalaman lebih selesa seperti pencahayaan ambien dengan efek Omotenashi yang menjadi lambang kemewahan Lexus.
Bagi pilihan Luxury, ia menampilkan konsep Tazuna yang dipertingkatkan dengan meter digital penuh 12.3 inci serta ‘head up display’.
Konsol tengahnya pula menempatkan skrin sentuh 9.8 inci terkini yang menyokong sambungan Apple CarPlay Android Auto secara tanpa wayar.
Seperti model Lexus lain, LBX didatangkan dengan Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) yang dikenali sebagai Sistem Keselamatan Lexus (LSS).
Konklusinya, penulis merasakan, biarpun fizikalnya kecil, namun kemudahan pemanduan yang ditawarkan pasti menjadi tarikan kepada pengguna.
Dengan keadaan kesesakan lalu lintas di ibu kota, kereta LBX merupakan pilihan terbaik untuk spesifikasi kereta mewah buat golongan profesional yang sentiasa ingin bergerak pantas.














