PASIR PUTEH – Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2 di sini hanya mampu mendengar jeritan meminta pertolongan daripada beberapa mangsa yang tersepit selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki terbabas merempuh surau sekolah tersebut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 67 tahun dan anak perempuannya berusia 44 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi ahli keluarga mereka cedera.
Ahmad Sidiki Abdul Rahman, 50, berkata, ketika dan rakan setugasnya yang ketika itu berada di pos pengawal sekolah melihat sebuah SUV jenis Honda CR-V terbabas merempuh surau, mereka bergegas ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa tersepit, namun gagal berbuat demikian.
“Saya hanya mampu mendengar jeritan beberapa mangsa meraung kesakitan selama 15 minit kerana tidak dapat dikeluarkan dari kenderaan itu sebelum pasukan bomba tiba. Saya lihat enam mangsa berada di dalam SUV itu dan dua daripada mereka sudah meninggal dunia. Pemandu kenderaan itu merupakan seorang wanita warga Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dua wanita warga Indonesia lingkungan umur 30-an dan 50-an maut selepas kenderaan SUV yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh surau sekolah
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987. – KOSMO! ONLINE














