PETALING JAYA – Dua jenama makanan haiwan peliharaan, MR.VET dan Bite of Wild optimis terhadap potensi pasaran makanan haiwan peliharaan premium di rantau ini dan menjadikan Malaysia sebagai hab paling penting bagi peningkatan pertumbuhan syarikat pada masa depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, peningkatan ini bersandarkan kepada pertambahan kadar pemilikan haiwan peliharaan dan kesedaran pengguna terhadap penjagaan kesihatan serta pencegahan mendorong permintaan terhadap produk yang menawarkan manfaat nutrisi lebih menyeluruh.
Faktor lain yang membantu peningkatan tersebut adalah pemilik haiwan peliharaan juga semakin peka terhadap kualiti bahan ramuan, sumber produk dan manfaat kesihatan jangka panjang yang ditawarkan.
“Trend tersebut selari dengan perkembangan global yang menyaksikan haiwan peliharaan semakin dianggap sebagai ahli keluarga, sekali gus meningkatkan perbelanjaan terhadap pemakanan dan penjagaan kesihatan mereka.

“Pengguna juga semakin beralih kepada produk premium yang menawarkan kandungan nutrisi lebih baik dan maklumat ramuan yang telus,” kata kenyataan itu.
Baru-baru ini, MR.VET dan Bite of Wild telah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila masing-masing menerima pengiktirafan dalam kategori berbeza di Orange Dot Award, sebuah platform anugerah yang mengiktiraf inovasi dalam industri haiwan peliharaan global.
Kemenangan tersebut bukan sahaja membuktikan keupayaan kedua-dua jenama dalam menawarkan penyelesaian pemakanan yang memenuhi keperluan haiwan peliharaan moden.
Ia turut mengangkat nama Asia Tenggara sebagai hab pembangunan produk nutrisi haiwan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
MR.VET menerima pengiktirafan dalam kategori Biotech Innovation, manakala Bite of Wild merangkul anugerah dalam kategori nutrisi hasil pendekatan pemakanan berasaskan sains dan inovasi yang diterapkan dalam pembangunan produk masing-masing.

“Anugerah tersebut adalah pengiktirafan terhadap usaha berterusan dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi produk yang bertujuan membantu haiwan peliharaan menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.
“Pengiktirafan ini juga membuktikan bahawa produk yang dibangunkan di Asia Tenggara mampu bersaing dan mendapat tempat di pentas antarabangsa. Pada masa sama, ia mengukuhkan komitmen kami untuk terus menyediakan penyelesaian nutrisi terbaik kepada haiwan peliharaan,” katanya.
Selain itu, syarikat kini agresif meluaskan rangkaian pengedarannya di seluruh negara yang mana produk MR.VET dan Bite of Wild kini boleh didapati melalui pelbagai rangkaian peruncitan utama selain platform e-dagang.
Rangkaian pengedaran yang meluas ini membolehkan pengguna di seluruh negara mudah mendapat akses kepada produk nutrisi premium dengan lebih mudah dan cepat.
Selain itu, syarikat juga bercadang memperkukuhkan kerjasama dengan lebih banyak rangkaian peruncitan utama selain mendidik pengguna mengenai kepentingan nutrisi haiwan peliharaan bagi membantu pemilik membuat pilihan lebih tepat berdasarkan keperluan kesihatan haiwan mereka. -KOSMO! ONLINE














