JASIN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka membantu mengeluarkan 10 penduduk termasuk dua bayi yang terkandas selepas kediaman mereka ditenggelami banjir kilat di Batu 13, Kampung Asam Kumbang, Bemban di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, sebanyak 10 buah rumah dilaporkan terjejas susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 7 pagi yang menyebabkan air naik sehingga paras pinggang.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian kecemasan kebangsaan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 8.03 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
“Seramai 10 mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat membabitkan dua warga emas lelaki, dua warga emas perempuan, dua bayi lelaki serta empat wanita dewasa. Air kemudiannya mula surut dan pasukan bomba menjalankan pemantauan di kawasan hotspot banjir sebelum operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi sebarang kemerbahayaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, operasi terkawal sepenuhnya pada pukul 9.34 pagi sebelum tamat pada pukul 10.52 pagi. – KOSMO! ONLINE














