PETALING JAYA – Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 merekodkan sebanyak 84 peratus golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes.
Menerusi data dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 15.6 peratus atau satu daripada enam dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala dua daripada lima dewasa tidak tahu mereka menghidap diabetes.
Katanya, prevalen diabetes menurun daripada 18.3 peratus (2019) kepada 15.6 peratus (2023).
“Diabetes tidak bergejala sehingga berlaku komplikasi. Kesan dan rawat awal untuk mengelakkan komplikasi.
“Diabetes tidak mendefinisikan kita, kita yang menentukan.Teruskan amalan pemakanan yang sihat dan kekal aktif secara fizikal untuk terus cegah diabetes,” katanya semalam.
Pengumpulan data bagi NHMS itu dibuat bermula 21 Julai hingga 14 Oktober tahun lalu melibatkan 9,188 responden dengan kadar respons keseluruhan sebanyak 26.5 peratus.
Metodologi dan reka bentuk persampelan melibatkan sasaran populasi iaitu individu yang tinggal di tempat kediaman dua minggu sebelum pengumpulan data, manakala sebanyak 2,579 tempat kediaman telah dilawati.
Reka bentuk persampelan iaitu pemilihan tempat kediaman secara rawak menggunakan rangka persampelan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam data NHMS yang dimuat naik oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) menunjukkan, lebih setengah juta atau 2.5 peratus golongan dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
Hampir 2.3 juta dewasa di Malaysia pula menghidap tiga penyakit tidak berjangkit.
Ia membabitkan 5.1 peratus (kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi), 1.2 peratus (kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti), 0.4 peratus (kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti) serta 2.9 peratus (tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti).














