KULAI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan pengundi supaya tidak sekali lagi terpedaya dengan janji dan dakwaan yang disifatkan sebagai mengelirukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu berkata, rakyat perlu menjadikan pengalaman pilihan raya lalu sebagai pengajaran selepas pelbagai janji ditaburkan namun sebahagian besarnya didakwa gagal ditunaikan.
Menurutnya, pengundi khususnya golongan muda perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana pelbagai taktik digunakan semata-mata untuk meraih undi.
“Dulu pelbagai janji manis dibuat pihak sana (calon Pakatan Harapan, Dr. Maszlee Malik) untuk mendapatkan undi rakyat. Mereka janji nak hapuskan Tol Simpang Renggam, dah hapus ke belum, mereka janji nak turunkan minyak, dah turun ke belum?.
“Sekarang dia lari ke Puteri Wangsa, cari isu lain, dia main isu jalan berlubang, jalan melambung. Dia tak tahu ke jalan yang dia jadikan bahan kempen itu adalah jalan persekutuan dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Mereka tak ada modal, jadi saya ingatkan kepada pengundi, jangan kena kencing lagi,”katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Bersama Masyarakat dan Jentera BN di Dataran Flat Cengal Taman Putri, di sini hari ini.
Pengerusi BN Johor itu berkata, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, ramai pengundi terutama anak muda pulang ke kampung dengan harapan terhadap perubahan yang dijanjikan.
Katanya, pengalaman lalu perlu dijadikan iktibar dan beliau berharap ibu bapa serta jentera parti memainkan peranan menyantuni golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji politik.
Dalam masa sama, beliau turut membidas kenyataan yang dikeluarkan calon PH DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern yang menabur fitnah kononya kerajaan negeri tidak menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Katanya, dakwaan itu tidak berasas dan bertentangan dengan fakta sebenar selain menunjukkan usaha untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan politik.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberikan kepercayaan kepada calon BN di DUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, DUN Bukit Batu, R Kumaran dan calon DUN Senai, Kiki Tai bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan negeri dapat diteruskan.-KOSMO! ONLINE














