fbpx

Dalam sehari, lapan orang mati lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BULAN ini sahaja sudah masuk lima kes melibatkan mati lemas.

Bermula dengan kes seorang kanak-kanak autistik ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Skudai di Johor awal 2 Mei lalu, empat lagi kes menyayat hati turut dilaporkan kelmarin.

Salah satunya melibatkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergelincir ketika memancing sebelum ditemui mati lemas di dalam sungai di Kuala Woh, Tapah.

Kemudian, seorang bapa dan dua anaknya meninggal dunia selepas lemas ketika mandi-manda di Sungai Balak, Batang Kali, Selangor.
Selain itu, seorang pemuda berusia 26 tahun turut menjadi korban air selepas lemas ketika mandi di Taman Rekreasi Ranchan di Serian, Sarawak.

Terakhir pada malam kelmarin, tiga lemas, manakala tiga lagi masih hilang dihanyutkan kepala air ketika melakukan hiking di Lembah Maksina, Makuau, Tungku, Lahad Datu.

Jika difikir secara logik akal, memanglah malang tidak berbau, tetapi kejadian lemas sebegitu setidak-tidaknya perlu cuba dijauhi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman berkata, kes lemas mampu dijauhi andai ibu bapa mengelak daripada membawa anak-anak ke sungai atau pantai ketika keadaan cuaca tidak menentu.

“Kadar kematian disebabkan kes lemas di negara ini empat kali ganda lebih tinggi berban­ding kebakaran.

“Kes lemas di kawasan su­ngai, pantai dan air terjun me­nunjukkan bilangan tertinggi.

“Justeru, orang ramai harus cakna termasuk mengambil peduli maklumat ramalan cuaca Jabatan Meteorologi sebelum merancang aktiviti riadah air,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, ada segelintir ibu bapa bagaikan tidak pernah serik membawa anak kecil ke sungai, laut dan tasik ketika cuaca tidak sesuai.

Katanya, meskipun sudah berkali-kali berlaku tragedi mati lemas, namun duka mereka hanya seketika.

“Membawa anak-anak mandi pantai ketika laut bergelora ibarat sengaja menempah maut. Kalau sudah terkena batang hidung sendiri, mena­ngis air mata darah pun tidak berguna,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan menerima sejumlah 325 panggilan mencari dan menyelamat bagi kes lemas di air sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, kes lemas di kawasan sungai dan tali air paling tinggi dicatatkan iaitu sebanyak 185 kes.

“Trend insiden kes lemas juga amat membimbangkan selain tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

“Panggilan mencari dan menyelamat bagi kes lemas di air yang diterima pada tahun lepas adalah 325 kes berbanding 290 kes pada 2022,” katanya.

Tambahnya, itu adalah cabaran utama JBPM dalam mengambil langkah sewajarnya untuk memberi pendidikan awal kepada masyarakat serta pelajar di sekolah mengenai kepen­tingan memiliki asas berenang dan juga keupayaan menjangka kawasan bahaya tidak terduga.

“Kita turut meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan perkelahan pada cuti sekolah dan cuti hujung minggu seperti di taman tema air, sungai, pantai dan kawasan perkelahan air terjun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN