LIPIS – Seorang penternak di Kampung Budu, Benta di sini kerugian lebih RM10,000 apabila 11 ekor kambing ternakannya mati akibat dibaham harimau kumbang.
Faizal Mohd Madzir, 57, berkata, kejadian terbaharu berlaku pada Khamis lalu apabila tiga ekor kambing miliknya dibaham haiwan tersebut.
“Dalam tempoh seminggu ini, lima ekor kambing saya telah dibaham harimau termasuk dua ekor yang mati pada Selasa lalu.
“Saya mengesyaki serangan daripada harimau kumbang itu selepas melihat kesan gigitan dan cakaran pada bangkai haiwan ternakan,” katanya di sini semalam.
Menurut Faizal, kehadiran harimau kumbang itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk kampung.
Malah katanya, dia sendiri pernah terserempak dengan haiwan liar itu di kawasan kandang kira-kira pukul 6 petang pada Ahad lalu.
“Kejadian berlaku ketika saya membawa beberapa ekor lembu masuk ke kandang sebelum terlihat harimau kumbang bersaiz agak besar berhampiran dengan pagar.
“Saya terus bergegas lari ke kereta untuk mengambil senapang, namun apabila naik semula ke kandang, saya dapati harimau kumbang itu telah hilang,” katanya.
Faizal berkata, ekoran kejadian itu, dia kini hanya mempunyai baki 10 ekor kambing dalam peliharaan.
Sementara itu, Penghulu Mukim Budu, Mohd Sofi Hamzah berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan perangkap telah dipasang beberapa hari lalu untuk menangkap harimau kumbang terbabit.
Menurutnya, penduduk kampung turut dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan tidak membuat tindakan sendiri memandangkan kejadian ini melibatkan binatang buas.
“Difahamkan harimau kumbang ini lebih gemar menyerang haiwan bersaiz lebih kecil daripadanya seperti kambing dan kucing. Haiwan liar ini juga dipercayai memasuki kandang pada sebelah malam,” katanya.














