PETALING JAYA – Kes kecurian lembu semakin menjadi-jadi di beberapa daerah di Pantai Timur apabila ternakan itu menjadi buruan pencuri ekoran permintaan tinggi terhadap bekalan daging pada musim perayaan ini.
Kecurian itu menyebabkan penternak menanggung kerugian besar, malah ada yang sudah berputus asa apabila masalah itu bagaikan tiada berkesudahan dan bertekad untuk menjual semua lembu mereka.
Di Bera, Pahang, kira-kira 28 penternak lembu di Triang tidak dapat tidur lena kerana bimbang ternakan mereka dicuri lagi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seorang penternak, Zul Azli Zulkufli, 61, berkata, kes kecurian lembu bukanlah mengikuti musim, tetapi berpanjangan, malah semakin menjadi-jadi menjelang Syawal ini.
“Kejadian terbaharu kes curi lembu berlaku beberapa minggu lalu membabitkan penternak di sekitar Triang. Setakat ini, lebih 10 ekor lembu telah hilang.
“Pemiliknya percaya lembu itu dicuri kerana menemukan beberapa peralatan yang digunakan pencuri telah tertinggal di dalam kandang.
“Saya sendiri, seminggu sebelum Ramadan telah berlaku cubaan mencuri lembu. Seekor lembu telah disuntik untuk ditidurkan,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Zul Azli memberitahu, penduduk juga menjumpai sebuah kenderaan pikap yang ditinggalkan di kawasan ladang kelapa sawit selepas terbabas ke dalam longkang.
Katanya, kemungkinan suspek cuba mengalihkan kenderaan itu untuk memasukkan lembu yang cuba dicuri, namun telah terbabas.
“Saya telah membuat laporan polis dan kini dalam dalam siasatan, Saya harap suspek dapat diberkas agar kejadian seumpama itu dapat dibendung.
“Sekarang harga lembu pun dah mahal. Kalau lembu jantan berusia dua tahun ke atas bernilai lebih RM3,000 bergantung pada saiz.
“Sekarang ini, ramai penternak yang simpan lembu-lembu ini untuk raya Aidilfitri atau raya korban,” ujarnya.
Di Pasir Mas, Kelantan, seorang penternak lembu di Kampung Tawang mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas kehilangan dua daripada 15 ekor lembunya pada awal Ramadan lalu.
Fauzi Rahim, 52, berkata, dia menyedari lembu-lembu tersebut hilang pada waktu pagi ketika datang ke kawasan padang yang menjadi tempat haiwannya meragut rumput.
Menurutnya, dia percayai kedua-dua ekor lembunya yang sudah boleh disembelih itu dicuri pada waktu tengah malam.
“Saya memang berhati-hati dengan kegiatan pencuri lembu lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Kegiatan mencuri lembu banyak berlaku ketika ini kerana haiwan ternakan sedia ada sudah cukup usia dan boleh untuk disembelih,” katanya.
Fauzi memberitahu, kehilangan lembu berlaku setiap tahun meskipun haiwan berkenaan ditambat di pekarangan.
Katanya, lembu yang dicuri kebiasaannya jarang dapat ditemui semula kerana akan disembelih dan daging-daging haiwan itu sudah dijual.
“Bukan lembu saya sahaja yang hilang, malah kerugian turut dialami oleh penternak lain di sekitar kampung.
“Saya difahamkan, lembu yang mereka curi dipunggah dengan menggunakan lori,” ujarnya.
Di Dungun, Terengganu, seorang penternak lembu di Kampung Paya Hutan, Paka sentiasa berjaga-jaga memastikan haiwan ternakannya tidak dicuri sepanjang Ramadan ini.
Romi Daud, 52, mendakwa, dia bimbang lembu ternakannya dicuri berikutan permintaan tinggi terhadap daging sempena musim perayaan ini.
Katanya, sebelum ini dia pernah kerugian RM30,000 selepas tujuh ekor lembu peliharaan dicuri.
“Berdasarkan pengalaman, aktiviti mencuri lembu biasanya semakin menjadi-jadi pada bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kebiasaannya aktiviti mencuri haiwan ternakan itu berlaku pada waktu malam dan awal pagi.
“Saya sentiasa berkawal di kawasan kandang lembu selepas solat sunat tarawih setiap malam sepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














