AKTIVITI memancing ikan dan mencandat sotong di laut sering kali kita dengar. Namun, sejak kebelakangan ini, kaki pancing memilih untuk memancing ketam sebagai aktiviti marin pilihan mereka.
Aktiviti memancing ketam kini semakin popular di kawasan pantai seperti Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pantai Morib, Selangor.
Selain dua lokasi tersebut, aktiviti memancing ketam itu turut popular di Bagan Lalang, Sepang.
Menurut Anuar Majid, 43, penangkapan ketam dilakukan menerusi kaedah memancing.
Katanya, dia menggunakan jaring khas buatan sendiri yang turut dikomersialkan olehnya.
“Baru-baru ini, saya bersama beberapa rakan menyertai aktiviti memancing ketam di Hobbit Sekroy, Bagan Lalang.
“Aktiviti memancing di ‘port’ tersebut sememangnya baru pada saya. Namun, aktiviti itu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di Klang, Selangor baru-baru ini.
Anuar berkata, kaedah memancing dengan jaring pancing lebih membuahkan hasil berbanding jaring menangkap ikan.

Jelas Anuar, aktiviti memancing ketam biasanya dilakukan menjelang malam iaitu dari pukul 6 petang sehingga keesokan harinya.
“Kami semua ‘berkampung’ di rumah rakit yang disediakan oleh pengusaha di lokasi tersebut bagi memastikan aktiviti memancing ketam lebih mudah dan selesa.
“Kos untuk menggunakan rumah rakit tersebut antara RM150 hingga RM400 mengikut jumlah pemancing dan jenis rumah rakit disewa,” katanya.
Anuar yang berasal dari Kelantan berkata, banyak ketam berjaya dibawa naik semasa dia dan kawan-kawannya berada di ‘lubuk’ ketam tersebut.
Menggunakan ikan sardin sebagai umpan, sekurang-kurangnya dua hingga tiga ekor ketam akan masuk ke dalam jaring pancing.
“Memancing ikan atau ketam mempunyai cabaran tersendiri. Ini kerana, jika umpan tidak sesuai mungkin ketam sukar masuk jaring.
“Apa yang penting, apabila memancing pada waktu malam, kita perlu tenang dan tidak melatah.
“Sentiasa positif kerana niat kita hendak menangkap ketam dan bukannya ikan,” katanya.
Mengulas mengenai kaedah-kaedah memancing ketam, Anuar berkata, dia pernah melihat rakan-rakannya menggunakan ‘bento’ dan pukat ketam.
Tambahnya, kaedah itu merupakan rutin bagi nelayan dan orang ramai menangkap ketam.
“Tidak salah guna cara lama atau baru kerana fokus kita adalah untuk memastikan lebih banyak ketam boleh dibawa pulang.















