DARI kejauhan, kelihatan sekumpulan haiwan berleher panjang, berkepala lonjong dan berkaki ramping sedang berdiri secara rapat dalam sebuah kandang.
Haiwan-haiwan itu berdiri dekat dengan kipas besar yang sedang berpusing.
Sekali lihat, rupanya seperti unta versi kecil tanpa bonggol di belakang dan memiliki bulu seperti biri-biri.
Haiwan yang dipanggil alpaka itu juga memiliki mata galak seakan-akan memakai celak.
Bukan mudah untuk melihat haiwan daripada spesies unta tersebut di kawasan tanah rendah kerana ia lebih sesuai dengan cuaca sejuk.
Namun, orang ramai bukan sahaja boleh melihat haiwan itu dengan lebih dekat, malah mereka dapat membelai alpaka di G2G Animal Garden, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.
Menurut penyelia G2G Animal Garden, Rozaiatun Azura Che Mat, 31, alpaka merupakan antara haiwan yang menjadi tarikan pengunjung di taman haiwan itu.
“Kami import alpaka dari Australia sejak ia berusia lapan bulan. Alhamdulillah, alpaka ini dapat membesar dengan sihat walaupun di tanah rendah.
“Mereka dijaga dengan rapi dan bulunya tidak boleh terlalu panjang serta perlu sentiasa dipasangkan kipas.

“Ini bagi memastikan haiwan ini tidak kepanasan. Kini, setelah dua tahun, alpaka masih lagi menjadi antara tarikan utama di taman ini,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.
Untuk rekod, G2G Animal Garden merupakan milik seorang bekas guru sekolah di Bangi iaitu Suzila Hashim.
Di dalam kawasan berkeluasan 0.81 hektar itu, terdapat hampir 100 jenis haiwan dengan jumlah tiga hingga empat ekor bagi setiap spesies.
Antaranya adalah burung kakak tua yang diimport dari Brazil, Afrika dan Amerika Syarikat.
Pengunjung juga berpeluang mengenali spesies unik seperti wallaby benest yang sering disalah anggap sebagai kanggaru.
Selain binatang-bintang yang jarang dijumpai, terdapat juga haiwan biasa seperti kucing dan ayam.
Tambah Rozaiatun, kelebihan G2G Animal Garden adalah reka bentuknya yang santai dan dipenuhi pohon-pohon rendang.
Hal ini membolehkan pengunjung berteduh dan melepaskan lelah pada bila-bila masa sewaktu melawat taman itu.
Ujarnya lagi, terdapat pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak disediakan seperti fishing boat dan pony ride.
“Bagi aktiviti fishing boat, ibu bapa hanya perlu bayar RM5 untuk satu cawan plastik, kemudian mereka boleh menangkap ikan seberapa banyak dimahukan.
“Jika mahu dapat banyak ikan, pengunjung boleh cuba aktiviti ini selepas kami ‘top up’ ikan ke dalam tangki,” ujarnya.
Jelas Rozaiatun, pekerja-pekerja di G2G Animal Garden perlu sentiasa bermesra dengan haiwan-haiwan jagaan mereka.
Ini bagi membolehkan haiwan-haiwan tersebut tidak rasa terancam dengan kehadiran pengunjung dan sedia untuk dibelai.
“Haiwan-haiwan kami sememangnya dilatih untuk tidak takut dengan manusia.
“Jadi, haiwan-haiwan ini yang akan menghampiri pengunjung.
“Selain itu, kami mengawal kuantiti dan kualiti makanan mengikut jadual makan yang telah ditetapkan oleh pihak veterinar.
“Jadi, pada waktu-waktu tertentu pengunjung boleh memberi makan kepada haiwan di sini,” katanya.














