GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Pos Pasik di sini berdepan kerugian apabila pokok dan hasil durian serta tanaman mereka dirosakkan sekumpulan gajah liar sejak lebih sebulan lalu.
Seorang penduduk, Aznan Siam, 60 berkata, kehadiran kumpulan gajah liar yang kerap berkeliaran di kawasan kampung menyebabkan banyak durian rosak sebelum sempat dikutip.
Katanya, keadaan itu menjejaskan pendapatan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada hasil jualan durian.
“Sudah banyak buah durian hasil tanaman penduduk dirosakkan gajah liar ini sehingga kami tidak sempat untuk menjualnya. Sebelum ini, ada yang datang ke Pos Pasik semata-mata untuk membeli durian, tetapi tahun ini kami rugi besar.
“Bukan sahaja buah, tetapi ada pokok durian yang turut rosak akibat dilanggar gajah. Selain durian, tanaman lain seperti padi, jagung dan pisang turut menjadi sasaran sehingga menjejaskan sumber makanan harian penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd. Sani Nahtiman berkata, penduduk kini hidup dalam kebimbangan kerana gajah liar terbabit semakin berani menghampiri kawasan rumah.
Katanya, selain merosakkan tanaman, kehadiran gajah liar itu turut mengancam keselamatan penduduk kerana terdapat rumah yang dibuat daripada buluh dan kayu rosak akibat bergesel dengan haiwan berkenaan.
“Penduduk terpaksa bergilir-gilir berjaga malam sejak lebih sebulan lalu kerana bimbang dengan keselamatan nyawa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian tersebut dan mengharapkan campur tangan segera pihak berwajib.














