MASALAH keguguran rambut bukan sahaja dialami oleh golongan wanita, malah semakin ramai juga golongan lelaki yang menderita masalah keguguran rambut, khususnya pada bahagian tengah kepala.
Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan botak dan pastinya akan menjejaskan penampilan.
Apabila bercakap tentang masalah keguguran rambut sehingga menyebabkan kepala menjadi botak, penyelesaian yang sering difikirkan adalah dengan menjalani rawatan tanam rambut atau hair transplant, yang kini dilihat semakin popular.
Rawatan tanam rambut adalah sejenis prosedur yang dijalankan untuk mengembalikan helaian rambut pada kawasan kulit kepala. Ia biasanya akan dilakukan oleh individu yang mengalami masalah keguguran, kebotakan atau penipisan rambut supaya rambut mereka tampak seperti sedia kala.
Namun begitu, menurut seorang doktor perubatan dan estetik, Dr. Che Hafiz Che Baharum yang mengadakan sesi perkongsian bersama media baru-baru ini, rawatan tanam rambut sebenarnya bukanlah pengakhiran kepada semua masalah rambut.
Hal ini memandangkan biarpun dikatakan terbukti berkesan, rawatan itu mempunyai beberapa kesan sampingan termasuk jangkitan luka pada kulit kepala.
Biarpun secara dasarnya semua individu boleh melakukan rawatan ini tanpa mengira usia atau jantina, namun begitu masih ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.
“Ramai tidak tahu bahawa rawatan tanam rambut ini sebenarnya bukan untuk semua kes keguguran rambut.
“Ini kerana, sekiranya pesakit atau pun mereka yang mengalami masalah keguguran rambut merawat masalah itu di peringkat awal, maka mereka tidak perlu menjalani proses tanam rambut.
“Rambut pada kepala kita sememangnya akan gugur, namun sekiranya ia gugur dengan begitu signifikan, maka pada ketika ini biasanya pesakit akan mula mendapatkan nasihat doktor.
“Kebiasaannya pula, doktor akan memberikan rawatan yang bersesuaian, dan sekiranya keadaan rambut mereka bertambah baik, maka masalah itu tadi tidak perlu pun disusuli dengan rawatan tanam rambut,” kata doktor perubatan dan estetik Klinik Regalion itu.
Tambah Che Hafiz, sekiranya pesakit mempunyai masalah genetik yang menyebabkan rambut mereka gugur dengan teruk, maka rawatan lebih agresif diperlukan untuk mengatasi masalah rambut yang gugur itu.
Sebelum sampai ke peringkat penanaman rambut, Che Hafiz memberitahu pesakit akan diberi beberapa jenis rawatan termasuk suntikan pada lapisan kulit kepala dan pemberian hair booster untuk menguatkan folikel rambut.
“Selain itu, rawatan sendiri di rumah juga boleh membantu mengelak mereka yang menderita masalah keguguran rambut daripada jalani prosedur tanam rambut ini.
“Antara rawatan itu termasuklah penggunaan syampu atau produk penjagaan rambut yang bersesuaian dan juga amalan gaya hidup yang sihat.
“Ini termasuk memastikan pengudaraan yang baik pada rambut seperti mengelak memakai tudung atau kopiah ketika rambut masih basah.
“Tindakan sebegini boleh memberi kesan bukan sahaja kepada rambut, tetapi juga menyebabkan jangkitan kulat pada bahagian telinga,” kongsinya.
Justeru, Che Hafiz menyarankan supaya mereka yang ada masalah keguguran rambut untuk segera mendapatkan nasihat daripada pakar terlebih dahulu, sebelum memilih menjalani rawatan tanam rambut.
Rawatan tanam rambut dianggarkan antara RM9,000 hingga RM20,000 bergantung keluasan kawasan rambut yang ditanam.















