fbpx
GAMBAR HIASAN

Alahai Bukit Fraser…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI kelaziman, setiap kali cuti sekolah saya akan mencuri waktu membawa keluarga berjalan-jalan. Meskipun sehari, itu momen yang paling kami nantikan.

Memandangkan kami sukakan tempat dingin, Bukit Fraser menjadi pilihan kali ini untuk mencuci mata sambil menikmati sejarahnya. Tambahan pula Bukit Fraser satu-satunya tanah tinggi dalam negara yang belum kami lawati.

Menempuh perjalanan selama lebih dua jam, saya meletakkan harapan yang agak tinggi terhadap Bukit Fraser. Barangkali kerana saya pencinta alam semula jadi dan belum pernah sampai ke sana waima pada usia begini.

Panorama sepanjang jalan terutama menyaksikan Empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu cukup mengasyikkan, namun keseronokan itu berubah apabila menyusuri laluan kecil berbukit ke Bukit Fraser yang agak mencabar.

Debaran dan rasa jemu menempuh jalan berliku sedikit reda apabila dari jauh nampak Menara jam yang menjadi mercu tanda Bukit Fraser. Seni bina penginapan dan banglo-banglo kolonial lama menjadi daya tarikan utama, seakan berada di pedalaman England dan Scotland.

Dengan suhu dingin, sajian hijau alam dan panaroma yang mendamaikan, lokasi ini sesuai buat mereka yang mencari ketenangan.

Namun, sejujurnya terselit rasa hampa apabila keindahan Bukit Fraser tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak Tourism dan kerajaan negeri. Pusat peranginan terkenal ini seakan ‘hidup segan mati tak mahu’.

Walhal, pada hari kunjungan saya, hotel semua penuh kerana ramai bawa keluarga bercuti. Bermakna, tempat ini masih menjadi tumpuan ramai setiap kali musim cuti sekolah atau cuti umum lain. Kenapa tidak diuruskan sebaiknya?

Tampak tidak terjaga, seakan diabaikan. Jalan menuju ke Bukit Fraser ‘daif’. Pokok, semak-samun kiri kanan jalan tidak diuruskan sebaiknya sehingga tumpuan terganggu ketika memandu.

Tiadakah pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskannya? Di mana peranan kerajaan negeri dalam memastikan laluan lebih selamat untuk pengunjung?

Bagaimana pula dengan fasiliti Bukit Fraser yang seharusnya ditambah baik dalam memastikan ia terus ‘hidup’?

Jika perkara ini dipandang remeh, pada akhirnya tempat ini akan mati. Tidak hairanlah mengapa penduduk Pahang sendiri kurang berminat bercuti di Bukit Fraser sebaliknya lebih cenderung ke Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Tinggi.

Majoriti yang datang ke Bukit Fraser adalah dari Lembang Klang dan negeri-negeri lain.

Walhal banyak tempat dan pengalaman menarik yang boleh ditawarkan kepada pengunjung di Bukit Fraser. Ia bukan sahaja terkenal sebagai pusat pemerhatian ratusan spesis burung, bahkan lebih daripada itu dengan adanya banyak laluan alam semula jadi yang indah seperti Twin Peak Pine Tree Hill, Hemmant Trail Fraser

Hill dan Bishop Trail yang pasti memenuhi ‘selera’ penggemar aktiviti lasak dan mendaki.

Harap Tourism Pahang dan kerajaan negeri lebih cakna tentang fasiliti, pemeliharaan dan pemuliharaan Bukit Fraser. Jika ditadbir urus dengan baik, pasti boleh menjana kewangan buat kerajaan negeri seperti mana destinasi percutian popular lain di Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN