fbpx
Panel solar kelihatan terpasang pada bumbung beberapa kediaman di negara ini.

Pemasangan solar kediaman trend 2024?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBIASAANNYA bil elektrik yang harus dibayar oleh Wendy Lee adalah antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Namun, setelah menggunakan panel solar di kediamannya, dia mendakwa mampu melakukan penjimatan sehingga 90 peratus untuk pembayaran bil elektrik bulanan.

“Setelah memasang sistem panel solar ini kami dapat berjimat banyak dalam membayar bil elektrik bulanan.

“Saya dapati perbezaan yang besar terhadap bil elektrik walaupun menggunakan peralatan memerlukan elektrik banyak seperti pendingin hawa dan oven,” katanya.

Dakwa Wendy yang tinggal dalam rumah dihuni keluarganya seramai lima orang, daripada bil bulanan rumah lazimnya RM200, kini menjadi RM20 sebulan dan pernah sehingga RM1 sebulan!

Begitu juga buat Kamarul Bahrein yang tinggal bersama hampir 11 ahli keluarga di dalam rumahnya.

Menurutnya, kebiasaannya bil elektrik bulanan untuk kediamannya adalah antara RM1,500 hingga RM1,600.

“Saya selalu berfikir bagaimana untuk mengurangkan bil tersebut termasuk menggunakan beberapa cara seperti menukar pendingin hawa dan peti sejuk tetapi semuanya tidak berapa efisien.

“Akhirnya saya melihat pelaburan untuk mengurangkan bil elektrik adalah melalui tenaga solar serta ia baik untuk alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, setelah pemasangan panel solar, bil elektrik yang perlu dibayar adalah sekitar RM590 hingga RM600 sebulan dan mampu berjimat hampir RM900 sebulan.

Pemasangan solar di kediaman dan bangunan turut dilihat berpotensi menjadi trend di negara ini pada tahun 2024. Ini memandangkan kerajaan menggalakkan usaha mempertingkat pemasangan sistem panel solar.

Malah, ketika pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024.

Menurutnya, ini bagi menggalakkan lebih ramai memasang panel solar di premis kediaman.

“Kerajaan juga sedang membangunkan program pembelian balik solar di bumbung bangunan dengan implikasi kos kepada sistem yang minimum.

“Pada masa sama, kerajaan menyeru syarikat untuk menawarkan model langganan ‘Kos Modal Sifar’ seperti yang akan ditawarkan oleh Gentari bagi kategori rumah kediaman,” katanya.

ZETH yakin cuaca di Malaysia amat sesuai untuk penggunaan tenaga solar dalam menjana elektrik bagi kediaman.

Secara asasnya, NEM berfungsi apabila panel solar fotovoltaik (PV) mula menjana elektrik daripada sinaran matahari untuk kegunaan elektrik di rumah. Kemudian, apa-apa lebihan daripada kuasa elektrik itu disalurkan kepada

Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang disimpan sebagai kredit untuk penggunaan akan datang.

Apabila malam dan tidak ada cahaya matahari, kediaman boleh menggunakan kredit elektrik yang tersimpan tadi.

Di Malaysia, antara syarikat yang menonjol dalam pemasangan solar ialah Verdant Solar. Bahkan, syarikat tersebut tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai syarikat yang membuat pemasangan solar atau PV bagi kediaman terbanyak di negara ini.

Mengulas tentang tenaga solar di Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Verdant Solar, Zeth Lim berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui itu.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang berada di garisan Khatulistiwa, Malaysia disinari dengan cahaya matahari yang banyak sepanjang tahun.

“Oleh kerana itu, ia memberi jumlah pancaran matahari yang mencukupi dan ini penting untuk penjanaan tenaga solar yang cekap. Selain itu, cuaca Malaysia yang konsisten dapat memastikan panel solar stabil untuk beroperasi,” jelasnya.

Apa yang lebih penting katanya, kerajaan sendiri amat memberi sokongan kepada penggunaan tenaga solar. Baginya, kerajaan telah mengambil langkah sepatutnya untuk mempromosikan tenaga boleh diperbaharui terutamanya tenaga solar.

Zeth akui, lonjakan dalam penggunaan tenaga solar untuk kediaman sememangnya luar biasa.

“Hanya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu kami telah menyaksikan peningkatan sebanyak 157 peratus permohonan berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan ketara ini menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan pemilik rumah,” jelasnya.

Tambahnya, pemasangan sistem solar boleh menjadi satu bentuk pelaburan kepada pemilik rumah dan perniagaan kerana ia dapat memberi penjimatan untuk kos elektrik.

Melalui sistem solar, ia mampu menjana tenaga elektrik yang boleh digunakan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap grid elektrik yang dibekalkan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Ini sekali gus membawa kepada pengurangan bil elektrik bulanan.

Zeth bagaimanapun mengakui, masyarakat kita masih teragak-agak untuk memasang panel solar pada kediaman masing-masing kerana memikirkan tentang kosnya.

Zeth menjelaskan, tanggapan bahawa kos pemasangan panel solar tinggi adalah satu tanggapan yang salah.

“Tidak dinafikan bahawa kos untuk membeli dan memasang panel solar serta peralatan berkaitan boleh menjadi penghalang untuk masyarakat berbuat demikian.

“Bagaimanapun, kos pemasangan sebenarnya telah berkurang hampir 65 peratus berbanding sedekad yang lalu.

“Pada 2013, kos untuk pemasangan panel solar adalah sekitar RM48,000 tapi kini ia telah berkurang kepada RM18,000,” ulasnya.

Malah, dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar, Zeth menjelaskan, antara strategi utama yang mereka gunakan adalah kemudahan kewangan.

Menurutnya, mereka bekerjasama dengan pihak bank dengan memperkenalkan pelan pembayaran tanpa faedah sehingga 60 bulan atau pinjaman sehingga 10 tahun.

“Fleksibiliti pembiayaan ini bukan sahaja memudahkan pemilikan panel solar, malah dalam sesetengah kes ia membawa kepada aliran tunai positif serta-merta daripada pemasangannya,” ulasnya.

Zeth berkata, terdapat keperluan yang ketara untuk meningkatkan kesedaran tentang penggunaan tenaga solar di Malaysia.

“Ketika ini pemasangan panel solar adalah kurang daripada 30,000 rumah sedangkan terdapat hampir 4 juta kediaman di atas tanah untuk potensinya diterokai dan ia sangat kuat.

“Ramai pemilik rumah mungkin tidak menyedari sepenuhnya tentang manfaat tenaga solar termasuk mampu memberi penjimatan yang besar terhadap bil elektrik,” terangnya.

Selain itu, tenaga solar ini mempunyai manfaatnya yang tersendiri di mana ia membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Zeth menjelaskan, panel solar menjana elektrik daripada cahaya matahari dan ia adalah sumber yang bersih dan boleh diperbaharui.

“Ini bukan hanya dapat kurangkan pelepasan gas rumah hijau, ia juga bantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang menjadi punca utama perubahan iklim,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN