Pada awal musim lalu, jika anda menyebut Girona menjadi pencabar kejuaraan La Liga Sepanyol atau mampu berada dalam kelompok lima pasukan terbaik, anda mungkin dianggap hilang akal atau tidak memahami mengenai bola sepak.
Saingan La Liga menyaksikan Barcelona dan Real Madrid menjadi kelab yang paling dominan, bergilir-gilir memenangi gelaran sebelum Atletico Madrid sejak sedekad lalu berjaya menukar profil mereka untuk menjadi salah satu lagi pencabar.
Selain itu, tidak ada pasukan yang dianggap mampu mencabar tiga kuasa besar tersebut kecuali musim ini apabila Girona tanpa disangka-sangka muncul menjadi pencabar utama kejuaraan selepas muncul pendahulu La Liga selepas 16 perlawanan.
Berpangkalan di Catalonia, Girona dianggap pasukan ketiga terbesar di wilayah tersebut di belakang Barceloa dan Espanyol, namun mereka bukanlah sebuah pasukan yang benar-benar stabil.
Biarpun mula ditubuhkan pada 23 Julai 1930, Girona hanya berjaya membuat debut saingan La Liga pada musim 2017/18 dan berjaya bertahan untuk musim berikutnya sebelum kembali tersingkir ke saingan Divisyen Segunda iaitu liga kelas kedua.
Tiga musim di saingan kelas kedua itu, Girona kembali ke La Liga pada musim lalu dan menamatkan kempen di kedudukan ke-10 dan musim ini mereka mencipta magis luar biasa apabila muncul pendahulu dengan mengumpul 41 mata daripada 16 perlawanan dan berkelebihan dua mata berbanding Real di tangga kedua.
Mastermind di sebalik fantasi yang sedang dilalui Girona ketika ini pastinya jurulatih mereka, Michel Sanchez Munoz yang tiba di Estadi Montilivi sejak 2021 untuk memulakan pelan pemulihan dan pemerkasaan kelab itu dan selepas dua musim, beliau dilihat semakin hampir untuk menuai hasil membanggakan.
Musim ini menyaksikan Girona berjaya meraih 13 kemenangan ketika ini, seri dalam dua perlawanan dan hanya tewas sekali dengan meledak 38 gol sekali gus menyaksikan angka berkenaan lebih baik berbanding pasukan lain.
“Projek yang pasukan alami adalah pelan jangka panjang. Bagi saya, aspek keharmonian bilik persalinan lebih penting berbanding taktikal kerana apabila semua pemain gembira, mudah untuk saya menerangkan strategi perlawanan,” kata Michel.
Bekas pemain Manchester United dan Ajax Amsterdam, Daley Blind yang beraksi di Girona ketika ini mengakui bahawa Michel sangat jelas mengenai cara yang beliau inginkan para pemainnya bermain dan sentiasa bersedia dengan variasi taktikal bergantung lawan yang dihadapi.
Blind yang pernah beraksi di bawah kendalian ramai jurulatih berprofil tinggi termasuk Jose Mourinho, Louis Van Gaal termasuk bapanya sendiri, Danny Blind mengakui dia lebih selesa bersama Michel yang memiliki kehebatan dari aspek menguruskan pemain.
Selepas hampir separuh musim berlalu, pastinya masih ramai yang tidak percaya kemampuan Girona untuk melakar kejutan menjuarai La Liga musim ini seperti mana ramai yang tidak percaya Leicester City mampu melakukannya di Liga Perdana Inggeris sebelum ini.














