Pulau Pangkor sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di Perak ekoran keindahannya yang memikat hati pengunjung.
Begitupun, di sebalik keindahan pemandangan di pulau tersebut, ia juga sinonim dengan produk hasil lautnya dan yang paling disebut-sebut orang ramai semestinya ikan bilis mata biru.
Sebut saja ikan bilis mata biru Pulau Pangkor, sudah tentu pujian melambung diberikan terhadap hasil laut berkenaan oleh mereka yang pernah menikmati hidangan berasaskannya.
Ikan bilis tersebut mendapat nama sedemikian ekoran matanya berwarna biru. Ia dipercayai menjadi terkenal kerana kerangupannya apabila digoreng selain tidak masin dan tidak liat.
Menurut seorang usahawan bimbingan Jabatan Perikanan, Jamilah Baharudin, ikan bilis mata biru Pulau Pangkor sememangnya dicari-cari oleh orang ramai terutamanya golongan pelancong yang mengunjungi pulau peranginan tersebut.
Disebabkan itu, katanya, permintaan terhadap hasil laut tersebut tidak pernah putus terutama ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
“Apa yang menyebabkan orang ramai begitu menggemari ikan bilis mata biru Pulau Pangkor adalah rasanya yang agak berbeza daripada ikan bilis lain.
“Biarpun ada yang mendakwa ikan bilis mata biru di negeri lain seperti Kedah dan Sabah tiada beza (dari segi rasa) dengan Pulau Pangkor, rata-rata mereka akan mengubah fikiran setelah merasa sendiri ikan bilis mata biru dari pulau itu,” katanya kepada Panorama di premis perniagaannya di Lumut baru-baru ini.
Menurutnya, antara ciri ikan bilis mata biru Pulau Pangkor yang menjadikan ia begitu popular adalah kualiti hasil laut tersebut.
Jamilah menjelaskan, secara lazimnya, ikan bilis biasa mudah terjejas integritinya, menjadikan ia senang hancur serta menjadi berdebu jika terdedah pada persekitaran dalam satu tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak berlaku dengan ikan bilis mata biru Pulau Pangkor yang mana keadaannya masih kekal sama ketika ia mula dijual oleh seseorang peniaga di premisnya.
“Apa yang akan bertukar adalah warnanya kepada kekuning-kuningan bergantung kepada suhu dan cuaca ketika ia terdedah, namun selain itu, tiada apa yang berubah bahkan rasanya juga masih sama,” katanya.
Menurut Jamilah, hampir 20 variasi ikan bilis mata biru Pulau Pangkor dijual di kedainya, namun yang paling popular adalah jenis yang telah dikopek.
“Jenis tersebut paling popular kerana ia memudahkan pembeli untuk memasaknya. Selain itu, ikan bilis mata biru Pulau Pangkor bersaiz kecil dan sederhana juga antara yang dicari-cari oleh peminatnya.
“Dari segi harga pula, ia dijual kira-kira RM10 bagi setiap 100 gram. Harganya adalah premium, namun ikan bilis mata biru yang dijual ini berkualiti tinggi,” katanya yang turut memberitahu bahan makanan tersebut sering digoreng dan dibuat masakan sambal.

Menurut Jamilah, ikan bilis mata biru Pulau Pangkor juga popular dalam kalangan pengguna antarabangsa, dengan dia sendiri membekalkan kepada pelanggan dari negara Amerika Syarikat, Jerman, Arab Saudi dan Afrika Selatan.
Sementara itu, seorang nelayan ikan bilis mata biru yang juga pemborong hasil laut tersebut, A. Bleatheran berkata, dia telah berkecimpung dalam industri tersebut sejak lapan tahun lalu.
“Sejak mula terlibat dalam industri ini, saya boleh katakan permintaan terhadap ikan bilis mata biru dari Pulau Pangkor kekal tinggi disebabkan oleh keunikannya berbanding di tempat lain.
“Biarpun ikan bilis mata biru ada dihasilkan di tempat lain seperti Tanjung Dawai dan Pulau Langkawi, Kedah serta di Labuan, kualitinya tidak sama dan hanya mereka yang pernah membelinya akan tahu membezakannya,” katanya.
Menurutnya yang dikenali sebagai Ravi oleh penduduk tempatan, dia merupakan salah satu daripada 11 pemborong ikan bilis mata biru yang beroperasi di Pulau Pangkor.
Katanya, ketika cuaca baik, botnya akan ke laut bagi menangkap ikan bilis sebanyak dua kali sehari iaitu pada pukul 5 hingga 8 pagi dan pukul 2 petang hingga sekitar 8 malam.
“Setiap hari kami akan membawa naik sekitar 1,000 kilogram (kg) ikan bilis mata biru yang mana ia kemudiannya akan diproses di gudang atau tempat pemprosesannya berhampiran jeti.
“Banyak proses terlibat sebelum boleh dijual kepada pelanggan, termasuklah mengasingkannya mengikut gred serta mengeringkannya kira-kira 9 jam iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, selaku pemborong, dia menjual ikan bilis mata biru pada harga yang lebih murah berbanding di kedai-kedai.
Sebagai contoh, katanya, ikan bilis bersaiz kecil iaitu dalam kategori saiz B dijual sekitar harga RM35 per kilogram (per kg), saiz A RM40 per kg, manakala saiz AA RM45 per kg.
Sementara itu, seorang penggemar ikan bilis mata biru Pulau Pangkor, Norhidayah Md. Ghazali, 37, berkata, dia dan keluarganya mula meminati hasil laut tersebut sejak tiga tahun lalu.
“Pada ketika itu, kami sekeluarga melancong ke Pulau Pangkor, jadi apabila berada di sana, saya tidak mahu melepaskan peluang membeli ikan bilis mata biru yang popular itu.
“Saya bersyukur kerana terdetik di hati untuk membelinya kerana ia sangat berbaloi. Memang benar seperti yang diperkatakan, ikan bilis itu mempunyai rasanya tersendiri dan individu pernah memakannya tahu untuk membezakannya dengan jenis yang lain,” katanya.
Menurut Norhidayah, ahli keluarganya juga berpandangan sama setelah mereka mencubanya, dan sejak itu mereka membeli ikan bilis mata biru dari Pulau Pangkor secara berkala daripada pembekal.
“Disebabkan kami tinggal di Kelantan, jadi bukan mudah untuk mendapatkan ikan bilis mata biru ini. Justeru, kami akan memborongnya setiap kali ke Pulau Pangkor atau singgah di Lumut.
“Selain itu, ada antara peniaga ikan bilis mata biru Pulau Pangkor menjualnya secara online, jadi kaedah itu juga kami gunakan untuk dapatkan hasil laut berkenaan,” katanya.














