SEPI tanpa buah tangan baharu, Anuar Zain bukan cerewet tetapi teliti mencari karya dramatik untuk dihadiahkan buat peminat tersayang.
Kerjaya seni penyanyi bersuara ‘emas’ itu bermula seawal usianya 13 tahun. Sekitar 1985, pemilik nama pentas, Anuar Zain itu telah pun menghasilkan sebuah album bersama pasangan duetnya, Ellina.
SEPANJANG 40 tahun menjadi penyanyi, Anuar membuktikan dirinya masih relevan dan digilai peminat apabila memegang pada prinsip ‘eksklusif’ sebagai seorang penghibur.
Antara lagu yang diingati sehingga kini ialah Kain Pelikat dan lagu ‘wajib’, Suasana Hari Raya yang akan dimainkan setiap kali menjelang Aidilfitri.
Namun perlahan-lahan, nama anak kelahiran Merlimau, Melaka itu ‘kabur’, saat kakaknya yang juga penyanyi popular, Ziana Zain mengambil tempat mengukir nama di puncak populariti sekitar awal 1990-an.
Sepanjang tempoh menghilangkan diri, rupa-rupanya Anuar beralih kerjaya bertugas di awan biru sebagai pramugara bersama syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines selama 10 tahun.
Ada kisah yang membuatkan pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu mengambil keputusan beralih kerjaya bergelar pramugara.
“Saya hampir tidak mahu meneruskan kerjaya nyanyian, lebih-lebih lagi ada yang berpendapat seorang penyanyi lelaki tidak akan mampu bertahan lama.
“Sama juga ketika saya menyanyi sewaktu kecil. Macam-macam perkara yang perlu saya lakukan sehingga ada yang membuatkan saya berasa kurang selesa,” katanya.
KONSERT Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 Oktober nanti merupakan hadiah tanda terima kasih Anuar kepada peminatnya. – M. FIRDAUS M. JOHARI
Penyabar
Selama tempoh 10 tahun tersebut, Anuar sebenarnya sukar melenyapkan rasa cinta terhadap bidang seni, terutamanya nyanyian.
Pada Anugerah Juara Lagu 1996, terlihat kelibat Anuar ada menghiasi pentas sewaktu menjadi model mengiringi persembahan penyanyi dangdut, Amelina menerusi lagu Ah! Rindu Lagi dan penampilan sulung, Datuk Seri Siti Nurhaliza (Jerat Percintaan).
Jelas membuktikan, jiwa seni Anuar kekal menebal meskipun masih lagi bergelar pramugara ketika itu.
Malah, sepanjang 10 tahun bergelar ‘pramusaji’ di awan biru, Anuar mengakui kerjaya itu banyak mengajarnya menjadi seorang penyabar dan cekal sebelum kembali mewarnai industri seni hiburan.
“Sepanjang menjadi pramugara, rupa-rupanya Allah SWT mahu beri saya ‘latihan’ menjadi seorang penyabar dan cekal sebelum kembali menjadi penyanyi.
“Banyak sebenarnya kenangan manis saya sepanjang menjadi pramugara. Antaranya saya belajar untuk jadi seorang penyabar,” ujarnya.
ANUAR sentiasa bercakap tentang impian hadir dengan lagu baharu nakun sehingga kini semuanya belum menemukan jawapan.
Cerewet?
Sehinggalah pada 1998, Anuar mengambil langkah kembali menghiburkan peminat apabila membuat kemunculan mewarnai persada seni muzik tempatan.
Album yang mengambil judul namanya sendiri, Anuar Zain sukses di pasaran dengan deretan lagu hebat, antaranya Bila Resah, Jangan Bersedih Lagi, Kita dan Musim Berlalu.
Kemunculan semula anak kepada pasangan, Zain Abdullah dan Robiah Abdul itu hadir bersama tuah apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998.
Masa berlalu dengan pantas. Sehingga kini Anuar masih kekal sebagai antara penyanyi berprofil tinggi, malah tidak berlebihan jika turut digelar penghibur ‘eksklusif’.
Selepas kali terakhir ‘meletup’ dengan lagu berjudul Andainya Takdir sekitar 2016, sehingga kini Anuar tidak muncul dengan buah tangan baharu. Alasannya belum menemui material terbaik.
“Setiap tahun saya cakap akan keluar dengan lagu baharu. Tapi hujung-hujung senyap (tak jadi) sebab belum jumpa material sesuai.
“Saya perhatikan, kebanyakan lagu sekarang sekadar lagu. Saya mahukan lagu yang ada drama (penceritaan) dari segi melodi dan lirik. Saya sukakan sesuatu yang dramatik. Saya bukannya cerewet, cuma seorang yang teliti,” tegas penyanyi berusia 53 tahun itu.
PEMILIHAN Stadium Malawati, Shah Alam sebagai lokasi konsert menurut Anuar mempunyai signifikan terhadap hidupnya.
Konsert istimewa
Akan datang, bersempena pembabitannya selama 40 tahun dalam industri muzik tempatan, Anuar bakal mengadakan konsert solo kelima, Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 Oktober nanti.
Bercakap tentang pemilihan lokasi konsert, penyanyi yang terkenal dengan kekuatan vokal ‘vibrato’ itu mempunyai nostalgia di Stadium Malawati Shah Alam.
“Antara sebab saya memilih lokasi di Stadium Malawati kerana Shah Alam adalah tempat saya tinggal dan membesar.
“Saya pernah mengadakan konsert di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, tetapi Stadium Malawati memberi saya nostalgia yang sangat manis.
“Apatah lagi, lokasi itu sangat praktikal dan mempunyai struktur bangunan yang menepati perancangan. Malah, pencahayaan dan sistem bunyian yang dimiliki sangat baik,” katanya.
Bakal mendendangkan seleksi 20 buah lagu popularnya, Anuar tidak merancang untuk melakukan sebarang gimik semasa konsert yang berlangsung selama dua jam kelak.
“Tiada gimik. Saya hanya mahu menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyian.
“Tiket sudah pun mula dijual pada 12 Julai lalu.
“Saya berharap semuanya akan berjalan lancar,” katanya teruja.
PENGANJURAN Anuar Zain 40th Anniversary Concert sempena 40 tahun dalam industri muzik tempatan, sekali gus menjadi konsert solo kelima Anuar Zain.