Penulis tumpang simpati dengan nasib sebahagian kontraktor Kelas F yang terpaksa menjadi penoreh getah, penjaja dan tukang rumah selepas gulung tikar kerana tawaran projek yang dikeluarkan kerajaan terlalu sedikit.
Lebih parah konsesi besar didakwa mengawal projek kerajaan seperti penurapan jalan, penyelenggaraan longkang dan pemotongan rumput.
Contohnya jika konsesi menerima projek penurapan jalan bernilai RM32 satu meter persegi, konsesi akan memberi kontraktor Kelas F yang kebanyakan bumiputera sebanyak RM19, manakala baki RM13 mereka ambil.
“Jadi mereka terpaksa buat kerja tidak berkualiti, asalkan siap sahaja, penjimatan terpaksa dilakukan, sekali gus menyebabkan turapan hanya mampu bertahan kurang dari setahun berbanding tiga tahun sepatutnya,” kata Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion baru-baru ini.
Isu ini antara punca masih banyak jalan berlubang di Malaysia, sejak dahulu sampai tahun 2023. Hari ini tampal, seminggu selepas itu berlubang lagi.
Kualiti penurapan dilaksanakan sebahagian kontraktor tidak mengikut standard gara-gara nilai tawaran projek yang diterima mereka daripada konsesi amat rendah.
Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Ada yang cedera parah, malah ada yang terkorban selepas motosikal yang ditunggang atau dibonceng terlanggar lubang lalu tersungkur di atas jalan.
Ada isteri menjadi janda, suami menjadi duda dan anak-anak pula menjadi yatim piatu angkara lubang-lubang ‘maut’ yang terbentuk di atas jalan raya.
Pihak berkuasa wajib memantau kualiti turapan jalan oleh kontraktor yang perlu dilakukan dengan sempurna supaya tidak sia-sia sahaja.
Jangan kemalangan membabitkan orang kenamaan seperti menteri sahaja yang mendapat perhatian segera, tetapi jika rakyat marhaen tergolek atas jalan raya hanya dipandang sepi.
Sebelum ini, ada jabatan kerajaan melaksanakan kempen sifar jalan berlubang iaitu kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan, namun sehingga kini masih wujud jalan-jalan berlubang.
Kaedah pengagihan projek kerajaan melalui konsesi perlu dihapuskan segera supaya kontraktor-kontraktor kecil menerima peruntukan secukupnya bagi menjamin kualiti kerja yang akan mereka lakukan.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi penyelenggaraan berkala jalan Persekutuan bagi menangani masalah jalan berlubang.
Dana yang dikhususkan untuk manfaat kontraktor kecil bumiputera itu menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Diharapkan dengan peruntukan besar ini, kontraktor-kontraktor kecil akan dapat kembali banyak projek dan bernafas semula dan yang lebih penting, tiada lagi jalan-jalan berlubang di negara kita.














