KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperhalusi agihan pemberian kontrak projek berskala kecil supaya ia lebih tersusun dan adil kepada semua kontraktor kelas F atau G1.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, ini kerana sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan projek untuk kontraktor ke G1 sehingga G4 dinaikkan daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilon pada tahun ini.
“Jadi dengan peningkatan itu (peruntukan daripada RM2.4 kepada RM4 bilion) sudah ada, ia dapat membantu masalah kekurangan projek tersebut.
“Cuma cara penyampaian (agihan projek) itu akan kita perhalusi. Yang penting sekurang-kurangnya peruntukkan itu (jumlah projek) sudah ditambah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) di Dewan Bahasa Dan Pustaka di sini hari ini.
Alexander berkata demikian ketika menjawab isu berkenaan laporan Kosmo! sebelum ini berkaitan lebih 35,000 kontaktor kelas G1 terpaksa gantung lesen akibat kenaikan harga bahan mentah serta kekurangan projek terutamanya secara cabutan undi.
Perkara itu didedahkan Presiden Perkorbf, Tuliman Radion yang memaklumkan bahan binaan seperti pasir, simen, batu dan besi mengalami kenaikan lebih 30 peratus ekoran ketidaktentuan ekonomi global serta kenaikan harga diesel sebelum ini.
Malah kata Tukiman, pihak Perkobf juga turut mengalami masalah kekurangan projek sehingga 60 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya melibatkan projek cabutan undi. – KOSMO! ONLINE














