fbpx

Tahun lepas hilang abang sulung, hari ini abang ketiga – Adik mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD ALIFF menaiki van jenazah mengiringi arwah abangnya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Adik kepada mangsa yang maut bersama-sama bapa saudaranya dalam nahas di Jalan Lendu, di sini, tengah malam tadi tidak dapat menahan sebak selepas kehilangan dua abang kandung dalam tempoh tidak sampai setahun.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan Mohd. Firdaus Yusof, 38, yang dalam perjalanan ke bazar Aidilfitri maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas merempuh sebatang pokok.

Seorang lagi penumpang di bahagian belakang, Azizul Bin Hamis @ Jainy, 38, yang juga ahli keluarga mangsa bagaimanapun terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Alor Gajah.

Menurut Muhammad Aliff Iman Hasrin, 15, dia dan keluarganya masih terkejut dengan kejadian itu, malah ibunya sukar untuk menerima pemergian anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Sebelum ini abang sulung saya meninggal 4 Ogos tahun lalu kerana serangan jantung dan tidak sampai setahun, hari ini abang ketiga pula dijemput Ilahi kerana kemalangan.

“Memang sedih sangat, abang beberapa hari ini sangat baik dengan saya dan kerap belanja makan. Burger RM8 pun dia bayar, malah dia ada bagi duit RM50 kepada mama untuk belikan saya baju raya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, hari ini.

Ujarnya, sikap mangsa juga berubah sejak empat hari lalu menjadi seorang yang sangat periang dan suka tertawa.

Dalam pada itu, bakal tunangnya, Zulaika Hanim Khairul Samri, 22, berkata, dia yang telah mengenali mangsa selama tiga tahun sempat keluar bersama-sama ke Dataran Pahlawan, di sini, untuk mencari barang persiapan raya.

“Hasraf jemput saya dari rumah di Nilai, Negeri Sembilan untuk keluar membeli kelengkapan raya dan dia ada beli sepasang kasut baharu. Selepas itu kami berbuka bersama-sama dan arwah hantar saya pulang.

“Pada pukul 11 lebih dia beritahu nak ke bazar dan seperti biasa dia akan biarkan talian panggilan itu terbuka sehinggalah sampai ke destinasi dan ketika itulah saya tiba-tiba terdengar jeritan bapa saudaranya menjerit ‘Baby!’ dipercayai ketika nahas berlaku,” katanya.

Jelasnya, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu mesra dipanggil dengan nama timangannya ‘Baby’ dalam kalangan keluarga.

Ujarnya lagi, dia dan arwah telah merancang untuk bertunang pada Hari Raya Haji Jun ini dan perkara itu juga telah dimaklumkan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Tetapi jodoh kami tidak panjang, memang tak sangka kejadian ini menimpanya apatah lagi saya baharu sahaja bertemu dengannya pada siangnya,” katanya.

Sementara itu, Allahyarham Mohd. Firdaus meninggalkan dua anak berusia 14 dan 11 tahun yang kini dijaga oleh bekas ibu mentuanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI